Bajet 2013 – 1. Muqaddimah, berlumba-lumba melakukan kebaikan

TEKS UCAPAN PENUH BAJET 2O13

BERIKUT ADALAH TEKS UCAPAN PENUH BAJET TAHUN 2013 OLEH YAB DATUK SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2013)DI DEWAN RAKYAT PADA JUMAAT, 28 SEPTEMBER 2012

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa :

“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan dilandasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama.Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.

3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat.Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat.Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat.Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan.Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia.

5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.

6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.

bersambung

Advertisements

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: