Survival Bisnes: Durian & Keretapi Tanah Melayu

Survival Bisnes: Durian & Keretapi Tanah Melayu

Kononnya durian paduka raja adalah durian paling sedap. Demikian kata seorang pak cik dari Mukim Pulau Tiga, Kg Gajah Perak. Sebuah daerah yang tersohor dengan buah-buahan tempatan terutama raja buah iaitu durian. Lupakan paduka raja. Musang King sahaja hari ini harganya sekilo mencecah RM30. Demikian juga jenis lain yang turut berharga seperti D24, durian tembaga, dan macam-macam lagi.

Maka tidak salah apabila dikatakan suatu masa dahulu sekali musim durian, ada yang mampu menikah dan naik haji dengan hasil jualan durian itu. Hari ini durian adalah salah satu sebab kemasukan pelancong dari luar negara terutama Jepun, Korea dan China. Ada dusun yang berhasil mengeluarkan 30,000 biji durian sekelas Musang King dalam satu-satu musim. Dengan anggaran sekilo RM25, ini bermakna pemilik dusun itu mampu meraih pendapatan sehingga RM750,000.

Namun kisah ‘durian runtuh’ itu tidak mendatar dan semudah itu. Durian Musang King yang terkenal dan diminati ramai itu lahir dari susah-payah pemilik dusun setelah gagal beberapa kali dalam industri perladangan sejak 1987! Era kegemilangan dan keemasan durian pernah melalui zaman-zaman getir dan gelap. Hampir-hampir sahaja ‘raja buah’ ini diperhambakan. Rentetan kemasukan buah import yang lebih variasi dan hype serta kemerosotan kualiti buah durian yang berada di pasaran.

Dan tidak dapat disangkal satu faktor yang paling utama ialah sikap sebilangan peniaga durian yang tidak amanah dan menjual buah yang berkualiti rendah pada harga kualiti tinggi. Maka hilang keberkahan pada urusniaga itu. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ يَبِيعُ طَعَامًا، فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهِ فَإِذَا هُوَ مَغْشُوشٌ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ.

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melewati seseorang yang menjual makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, ternyata ia menipu, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Orang yang menipu (berbuat curang) bukan dari golongan kami.’ (riwayat Imam Muslim)

Akhirnya durian tetap durian dengan duri nya yang tajam & serta bau yang menyengat (pada sebahagian orang ia sengatan nikmat, manakala segelitir yang lain menjadi sebaliknya). Peniaga yang curang dan khianat tidak akan kekal dalam pasaran. Yang survive dan kekal dalam pasaran ialah mereka amanah, jujur menjaga kualiti produk & sabar serta istiqamah menghadapi detik-detik sukar. Abu Hurairah melaporkan, “Sumpah itu adalah pelaris produk dagangan namun menghilangkan berkah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Dan makna berkah ialah bertambah dan diberikan kebaikan di dalamnya.

Keretapi Tanah Melayu

Luka dan parut kehilangan Tanjung Pagar di Kota Singa masih terasa dan usahlah dikenang. Keretapi Tanah Melayu Berhad atau ringkasnya KTBM suatu masa dahulu adalah sistem pengangkutan pilihan dan utama. Sehingga pernah menjadi penaja utama rancangan sekelas dan sehype Akademi Fantasia. Siapa yang tidak lupa kepada Sinaran Passport Kegemilangan! (Ala kulli hal kedua rancangan itu lagha dan bergelumang di dalamnya maksiat dan mungkar, dan boleh jadi disebabkan itu bisnes KTMB merudum sejak hari itu).

Dengan bertambahnya pengeluaran kereta nasional serta peningkatan jaringan jalan raya dan lebuh raya, maka perlahan-lahan KTMB hilang pengaruh melainkan waktu-waktu perayaan terutama di pantai timur. Hingga ada suara sumbang dan sumbing (sangat tidak membina, jangan kawan dengan orang seperti ini) mencadangkan KTMB di muziumkan bersama artifak sejarah yang lain.

Itu zaman-zaman sukar dan mencabar yang ditempuhi oleh KTMB. Namun ternyata dan terbukti Allah itu Maha Adil. Dia menggilir-gilirkan sebuah kaum ke atas sebuah kaum yang lain agar kita mengambil pelajaran. Firman Allah yang maksudnya,

“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim,” (Terjemahan Surah Ali Imran: 140)

KTMB bertahan dan dalam waktu yang sama merangka plan dan merencana tindakan untuk survive dalam persaingan bisnes yang semakin kompleks. Hari ini KTMB mula kembali mengorak langkah sebagai salah satu dari alternatif utama dan terbaik sistem pengangkutan antara bandar. Tren ETS antara bandar walaupun harganya menjangkau dua kali ganda dari harga tiket bas ekspress, namun ia tetap menjadi pilihan utama penumpang. Semua seat hujung hujung minggu selalu penuh, jangan mimpi mahu membeli tiket secara ‘walk in’!

Tidak sekadar itu sepertinya KTMB bakal mengembalikan zaman kegemilangan nya apabila bersungguh-sungguh melaburkan kos yang besar untuk menaik-traf dan membina laluan landasan yang baharu menghubungkan bandar-bandar utama dari selatan tanah air hingga ke utara.

Dan diberitakan di bawah jalur-jalur rangkaian landasan KTMB itu tertanam ‘kapital’ senilai emas permata untuk mereka menerokai sektor bisnes lain yang lebih lumayan!

Ibrah & Pengajaran

Semua bisnes melalui pasang surutnya, naik dan turunnya. Bukankah demikian tafsir mimpi Nabi Yusuf kepada Raja dalam surah Yusuf? Sebagaimana dikisahkan dalam Surah Yusuf,

“(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru): “Yusuf, hai orang yang amat dipercaya, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya. Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur.” (Terjemahan Surah Yusuf: 46-49)

Beringat ketika senang dengan berjimat-cermat dan menabung. Dan ketika susah juga tetap berjimat-cermat, sabar dan tetap bertahan. Bukankah Allah berjanji dalam dua ayat tegas & berturut-turut bahawa “Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Terjemahan Surah Al-Insyirah: 6-7)

Berakit-rakit kehulu,

Berenang-renang ketepian,

Bersakit-sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian. 

Mohd Riduan b Khairi

PPY Borneo ‘Membangun Citra Insan’

Http://notausahawan.wordpress.com/

#SurvivalBisnes #Bisnes #NotaUsahawan #Perniagaan #Perdagangan #KTMB

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: