Archive for the ‘Bajet 2013’ Category

Bajet 2013 – 46. MENGGALAKKAN AMANAH PERNIAGAAN

MENGGALAKKAN AMANAH PERNIAGAAN (BusinessTrust)

46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).

47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.

48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit.

50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.

51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

 

52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.

Bajet 2013 – 38. MENCERGASKAN PASARAN MODAL & KEWANGAN

MENCERGASKAN PASARAN MODAL & KEWANGAN

Tuan Yang di-Pertua,

38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.

39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

 

40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit.Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan.Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.

41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara,Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukukuntuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti Agro Sukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru,untuk menggalakkan terbitan Agro Sukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan,Dana Infra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.

43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urusniaga bon dan sukuk runcit.

44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.

Bajet 2013 – 32. Bekanalan makanan, petani, nelayan

KELESTARIAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN

Tuan Yang di-Pertua,

32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambah baik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.

MEMBELA NASIB PETANI & NELAYAN

Tuan Yang di-Pertua,

 

33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.

34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.

35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi – 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi – 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi – 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi – 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras – 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah – 85 juta ringgit.

36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.

37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

Bajet 2013 – 29. MENINGKAT AKTIVITI PERTANIAN

MENINGKAT AKTIVITI PERTANIAN

29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

 

31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.

Bajet 2013 – 28. MERANCAK SEKTOR PELANCONGAN

MERANCAK SEKTOR PELANCONGAN

Tuan Yang di-Pertua,

28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

Bajet 2013 – 24. MALAYSIA SEBAGAI HAB MINYAK & GAS

MALAYSIA SEBAGAI HAB MINYAK & GAS

Tuan Yang di-Pertua,

24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.

 

25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan.Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tippingpointprojek perkongsian awam swasta,pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar AS telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.

27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus keatas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.

Bajet 2013 – 19. Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana

MEMPERGIAT PERUSAHAAN KECIL & SEDERHANA

19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.

20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 – 2020) telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk enam Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.

21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggiuntuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit membiayai modal kerja PKS terlibat.

22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.

23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.

Bajet 2013 – 15. Fokus pertama, merangsang aktiviti pelaburan

FOKUS BAJET 2013

Tuan Yang di-Pertua,

15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara. Memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN

Tuan Yang di-Pertua,

16. Fokus Pertama: Merangsang Aktiviti Pelaburan. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Tren ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit.

17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

MENGGALAK PELABURAN DOMESTIK

18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.

 

Bajet 2013 – 11. Peruntukan bajet

PERUNTUKAN BAJET 2013

Tuan Yang di-Pertua,

11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.

12. Di bawah peruntukan mengurus,sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.

Bajet 2013 – 7. Prestasi ekonomi 2012 dan prospek 2013

PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013

Tuan Yang di-Pertua,

7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

 

8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Tren ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.

 

9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012.Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

 

10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.