Archive for the ‘Buku bisnes’ Category

Etika Perniagaan Islam

Etika Perniagaan Islam (1998)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Rafik Issa Beekum

Penerbit : IIIT & Thinkers Library

Harga : RM 14.00

Beli : Saba Islamic Media, Maju Junction

Halaman : 114 mukasurat

Ketika saya mengunjukkan buku ini kepada sahabat saya, seorang bisnesman, dia mengomentar,

“Tidak ada apa-apa yang ektra dalam buku ini. Semuanya sudah diketahui umum, dan banyak disebutkan dalam buku-buku bisnes yang lain”.

Nadanya seperti mencemuh. Mungkin beliau (sungguh) telah membaca lebih banyak buku bisnes dari saya. Bahkan beliau ‘walk the talk’, menjalankan bisnes sejak awal 2007.

Namun, saya mengambil pendekatan yang berbeza. Walaupun sudah membaca beberapa buah buku tentang bisnes, saya tetap mahu dan akan membaca bahan-bahan lain yang berbicara tentang bisnes-islami. Hanya sahaja ‘expectation’ itu sahaja yang perlu diperbaiki.

Sebagai pembaca, kita tidak boleh berharap menjadi pandai atau pakar dengan hanya membaca sebuah (beberapa) buku. Kata orang untuk menjadi pakar dalam satu-satu bidang, kita perlu baca sekurang-kurangnya 100 buah buku dalam bidang yang sama.

Cukup pada saya membaca buku ini dan mengambil beberapa maklumat baru dan manfaat tambahan. Itulah proses mencari ilmu. Para imam hadith sanggup ber’unta’ beratus-ratus kilometer, berhari-hari, menghabiskan banyak wang mencari ilmu. Bahkan kadang-kadang yang diperoleh hanyalah satu hadits sahaja.

Etika Perniagaan Islam

Bahagian awal buku ini, penulis membawa etika umum dalam organisasi dan pengurusan. Antara yang dicakup ialah keadilan, tanggungjawab, amanah dan beberapa lagi. Ini perkara asas, bukan sahaja dalam bisnes, juga dalam ibadah, perhubungan dan seluruh perjalanan hidup manusia.

Tidak sedikit dari bisnes hari ini melanggar etika-etika asas ini. Hatta yang mengaku bisnes secara Islami juga.

Bahagian kedua pula, penulis membawakan beberapa prinsip asas bisnes (jual beli) yang ditetapkan dalam Al-Quran dan hadits. Antara yang paling asas dan utama ialah pengharaman riba, sumpah palsu dalam jualan dan melakukan sukatan yang benar dalam timbangan.

Konsep umum

Pun begitu, buku kecil ini masih bersifat terlalu umum. Ia tidak dapat dinafikan.

Advertisements

Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad b Abdullah

Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad b Abdullah

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Seorang teman saya, bekas pegawai bank yang kini menjadi jurulatih kepimpinan dalam sebuah organisasi korporat antarabangsa menasihatkan, “Berhenti membaca buku, dan turun ke padang belajar melalui pemerhatian dan pengalaman”.

Hampir menangis saya menelan nasihat itu. Saya seorang peniaga. Susahnya menjadi peniaga berbangsa Melayu hanya Tuhan saja yang tahu. Bukan kerana karenah mendapatkan pembiayaan (kerana pada saya itu antara perkara mudah dalam bisnes), sebaliknya mahu mencetuskan budaya baru dalam diri orang dan masyarakat Melayu tentang keusahawanan.

Tidak banyak tunjuk ajar yang dapat saya warisi. Mujur sekali Tuhan menemukan saya dengan beberapa individu yang sangat banyak dan besar jasanya kepada saya dan bisnes yang saya sedang bina. Salah seorang darinya ialah buku!

Judul : Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad b Abdullah

Penulis : Muslim Kelana

Penerbit : Pts Pubslication

Ulasan saya

Pada diri Nabi Muhammad itu satu satu suri teladan yang baik. Beliau seorang bisnesman yang cemerlang sebelum diangkat menjadi Rasul. Setelah menjadi Rasul, di sisi beliau ialah sahabat-sahabat yang sebahagiannya ialah bisneman yang cemerlang juga. Antara yang terkenal kaya dan bijak berniaga termasuk Abdul Rahman b Auf, Zubair al-Awwam,  Abu Bakar as-Siddiq. Abu Bakar as-Siddiq berhenti menguruskan bisnesnya apabila dilantik menjadi khalifah.

Dakwah dan binses

Pendakwah dan bisesman mesti jalan bergandingan. Dakwah memerlukan tajaan material dan wang. Manakala bisnes yang banyak melakukan infak akan Allah tambah untung dan berkat perniagaan. Ia saling lengkap-melengkapi.

Psikologi Menjual (Psychology of Selling)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Brian Tracy  (2004)

Penterjemah : Imran Yusuf (2008)

Penerbit : Pts Professional

Halaman : 236

Harga : Rm 39.90

Syarikat terbaik mempunyai tim jurujual yang terbaik.

Menjual adalah bab utama dan paling kritikan dalam bisnes. Mandahului bahagian pemasaran, akaun, dan lain-lain. Ia sangat asas.

Menjual nasi lemak

Seorang peniaga nasi lemak mungkin tidak punya sistem akaun atau kaedah pemasaran yang maju, namun dia tetap perlu menjual.

Brian Tracy, seorang ‘guru’ dalam tajuk jualan.

Semua orang adalah jurujual

Semua orang adalah jurujual. Peniaga nasi lemak menjual nasi lemaknya. Peniaga nasi lemak yang bagus sebenarnya bukan sekadar menjual nasi lemaknya, bahkan dia menjual layanan yang baik, menjual senyuman kepada pelanggannya dan menjual budi bahasa yang baik.

Pernah tak terjadi, kita membeli dengan sesebuah kedai atau peniaga bukan hanya kerana produknya, bahkan pakej yang dimiliki oleh perniagaan itu. Baik kebersihannya, layanannya, kualitinya dan aspek yang lain. Mungkin harganya sedikit mahal dan makanannya pun biasa-biasa sahaja, tetapi pelanggan tetap datang kerana layanannya.

Peniaga barang-barang menjual barangannya. Pernigaan dalam bidang perkhidmatan pula menjual khidmatnya.

Semua orang adalah jurujual

  1. Ibu bapa menjual akhlaq dan adab yang baik kepada anaknya
  2. Guru menjual ilmu kepada anak murid untuk diamalkan
  3. Pendakwah menjual keyakinan agama kepada pengikutnya untuk ditaati

Justeru apabila Allah menakdirkan semua Nabinya mengembala kambing (hadits dari Malik b Abas dalam Muwatta Imam Malik) dan Nabi Muhammad kemudiannya menjadi peniaga. Di dalam dua kegiatan ini ada banyak latihan dan ujian yang sangat bermanfaat ketika Nabi berdakwah kepada umatnya.

Memulakan Bisnes Sendiri

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Ainon Mohd.
Penerbit : PTS Professional
M/surat : 248
Harga : RM 29.00
Tahun Terbit : 2005

Sebelum menemui buku ini. Saya telahpun berkenalan dengan beberapa tokoh perniagaan dan penulis motivasi kewangan melalui tulisan-tulisan mereka. Antaranya adalah Chef Li (Rahsia Jutawan Senyap Terbongkar – Petunjuk Jalan Kejayaan), Azizi Ali (Siri-siri buku ‘jutawannya hampir semua saya miliki), Irfan Khairi dan semestinya Kiyosaki dengan kisah dua orang ayahnya.

Saya juga lama kenal dengan Puan Ainon lewat buku-buku psikologi dan komunikasi beliau. Sungguh mengujakan. Setelah berkenalan secara personal dengan beliau, kemudian barulah saya menyelak helai-helain buku Memulakan Bisnes Sendiri (selepas ini disebut MBS) ini.

Kata pengantar buku ini cukup untuk membuktikan wibawa penulis wanita ini.

“Kebanyakan orang yang mengambil kursus pengurusan pernigaan tidak membuka bisnes sendiri. Kebanyakan orang yang berniaga tidak membaca buku-buku panduan perniagaan”.

Ayat sakti ini yang memancing saya untuk menamatkan justru menghadamkan isi da kandungannya secepat mungkin.

MBS ada 11 bab. Penulis memulakannya dengan membincangkan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan-usahawan (khususnya usahawan melayu). Begitu banyak faktor-faktor kegagalan sesuatu perniagaan dikongsi bersama dalam buku ini.

Banyak individu mahupun syarikat memulakan perniagaan atas sebab yang salah. Ada yang memulakan pernigaan kerana ada peluang. Tidak sedikit juga yang memulakan pernigaan kerana ‘sudah ada modal’. Begitu juga yang memulakan perniagaan kerana mengharapkan menjadi kaya cepat dan mudah. Sebab-sebab yang tidak teguh inilah yang mengakibatkan lebih 90 % pernigaan bertahan hanya 3 tahun sahaja. Selepas itu banyak yang gulung tikar.

Peluang peniaga melayu ternyata lebih luas (sebenarnya) berbanding peniaga-peniaga lain yang tidak berstatus bumiputera. Namun hanya berbekalkan peluang tidak menjanjikan kejayaan. Untuk berniaga, lebih dari soal peluang, modal dan ruang diperlukan untuk berjaya.

Dalam bab 6 penulis menceritakan beberapa situasi latar belakang usahawan baru. Dari ‘Orang pandai’ memulakan bisnes, Orang korporat memulakan bisnes hinggalah Anak orang kaya mahu berniaga. Kesemuanya jelas tidak menjamin indvidu itu berjaya dalam bidang perniagaan tanpa cara dan kaedah yang betul.

Kesimpulannya, buku ini sangat bagus dibaca oleh individu yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Apa yang saya temui dalam naskah kecil ini (pada saya kecil kerana isinya besar dan perlu di jelaskan dengan lebih panjang dan terperinci) memuatkan terlalu banyak pedoman dan nasihat sebelum memulakan @ menguruskan perniagaan. Penulis membawa pembaca ke suatu sisi yang lain dalam bisnes. Apa yang tidak dapat diperolehi dari buku-buku lain (Azizi Ali dan Chef Li).

Bacalah! Kalau tidak kamu akan menyesal.

Strategi Bisnes Manchester United (2009)

Strategi Bisnes Manchester United (2009)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Ashadi Zain

Penerbit : PTS Professional

Mukasurat : 125 halaman

Harga : RM16.00

Manchester United sebuah jenama yang besar dan dikenali terutama kepada peminat sukan.

Manchester United (pernah) memiliki beberapa pemain terbaik England dan dunia. Antaranya David Beckham, Michael Owen dan Ronaldo (betulkan jika ada kesilapan kerana saya tidak arif dalam dunia bola sepak).

Manchester ialah sebuah nama tempat di England.

Manchester United pula ialah nama bagi sebuah pasukan bola sepak.

Strategi

Strageti utama MU bukan sekadar menjadi pasukan bola sepak yang hebat dan disegani. Ia lebih dari itu. MU dinaikkan menjadi satu jenama yang digilai ramai. Ini kunci utama kejayaan bisnes MU.

MU memanfaat semua sudut bisnes yang mereka miliki. Bermula dengan stadium Old Trafford hinggalah ke mercandise, penerbitan dan ‘menjual’ pemain-pemainnya sendiri dengan harga yang sangat mahal.

Hari ini apa-apa sahaja yang bercop Manhester boleh dijual dan bernilai. Pernah kalian mendengar sebuah filem melayu berjudul ‘Dari Jampoh ke Manchester‘?

Esok lusa, jangan terkejut kalau ada kicap atau sos tiram jenama MU. Percayalah.

MU dan Air Asia

Satu syarikat perniagaan tempatan yang dilihat berusaha menyalin resipi kejayaan MU ialah syarikat penerbangan Air Asia. Air Asia berusaha untuk menjadi satu jenama, bukan lagi sekadar menjual tiket kapal terbang. Melalui syarikat bersekutu, kini mereka memiliki rangkaian hotel sendiri, Tune Hotel. Dan kini rangkaian talian telefon mudah alih, Tunetalk.

Bird of a feather flock together‘ atau pepatah melayu mengatakan ‘enggang sama enggan, pipit sama pipit’, hari ini Air Asia sudah mula menjali kerjasama dengan MU. Ia bermula dengan mengiklankan poster MU di badan pesawat Air Asia dan jersi pemain. Jangan hairan suatu hari nanti,  jika kad merah yang dilayangkan kepada pemain yang main kasar tertera lambar Air Asia. Ada usaha dibuat kearah itu.

Beli buku klik di sini.

Buku Menjadikan Bisnes Kecil Besar dan Berkembang

“Mengapa Banyak Bisnes Kecil Gagal dan Apa yang Perlu Dilakukan”

Penulis : Michael E. Gerber

Penterjemah : Hasnah Daud

Penerbit : Pts Professional 2010

Kajian di Eropah dan Amerika menunjukkan 9 dari 10 bisnes kecil akan tutup pada 3 tahun pertama. Ini fakta yang sudah dimaklumi. Senario di negara kita dan tempat lain hampir sama juga. Manakala baki 10 persen bisnes yang berjaya survivelebih dari tiga tahun, kebanyakannya akan tutup juga pada 3 tahun yang kedua.

Namun fakta ini tidak pernah menjadi penghalang kepada peniaga-peniaga kecil meneruskan usaha membuka dan memulakan bisnes baru.

Memulakan bisnes ibarat menanam benih. Seperti mana benih itu disemai, kemudian tumbuh dan membesar, demikian juga bisnes. Secara naturalnya, bisnes akan tumbuh dan berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lain.

The E-Myth Revisited

Buku ini menjelaskan beberapa perkara yang sering dilalaikan oleh bisnes kecil.

Kebanyakan kesilapan bukanlah akibat bisnes yang tidak berkembang, sebaliknya kerana pemilik bisnes yang tidak bersedia untuk mengendalikan bisnes yang berkembang. Buku ini merincikan beberapa halangan untuk bisnes terus berkembang dan survive dan cadangan penyelesaiannya.

Tidak jarang kita melihat banyak perniagaan yang maju dan punya ramai pelanggan, namun tup-tap ditutup secara tiba-tiba.

Antara beberapa perkara yang da[at saya cerap dari buku ini ialah :

  1. Menyediakan prototaip bisnes
  2. Membuat sistem pengurusan
  3. Carta organisasi dan agihan tugas

Sekali pandang apa yang ingin penulis ini sampaikan seperti maklumat buku teks pengajian universiti. Tidak! Sebaliknya ia disajikan dengan sangat santai dan ringan. Penulis buku ini membawakan contoh-contoh dan cerita-cerita yang relevan dengan maklumat yang ingin disampaikan.

Pengarang buku ini menggunakan model Mc Donald sebagai bisnes kecil yang akhirnya berkembang membesar ke seluruh dunia.

Saya membaca banyak juga buku-buku bisnes (tapi belum cecah 100 judul untuk isytihar pakar dalam sesuatu bidang), namun saya sarankan baca buku ini!

SKALI Lagi

Yang bulat tidak datang bergolek

Yang pilih tidak datang melayang

Saya yakin bidalan di atas memberi gambaran yang tepat tentang buku memoir ini. Ia menceritakan tentang perjalanan pengarang (Tengku Farith) membangunkan bisnesnya SKALI.

Mana sama. Dia anak menteri. Tengku pula. Tentu miliki banyak kelebihan berbanding orang lain yang lahir dari keluarga biasa.

Ini satu contoh dari beribu ayat alasan. Yang paling banyak punya alasan ialah orang yang tidak mahu berbuat alias orang yang gagal. Hakikatnya, tidak semua anak tengku atau anak menteri berada pada kedudukan seperti Tengku Farith.

Tidak sedikit juga orang-orang yang sukse berasal dari latar belakang yang tidka memihak dan mendorong mereka.

Kata Toni Leviste, seorang selebriti dan usahawan “orang yang berjaya ialah orang yang tidka pernah berhenti berusaha“.

Inilah Tengku Farith Rithauddeen, pengasa SKALI sebuah syarikat perniagaan e-bisnes.

Liku-liku

Beliau memulakan tugas di CIMB dibawah pasukan Nazir Razak (sekarang CEO CIMB Bank).

Kemudian menubuhkan syarikat perniagaan bersama beberapa rakan kongsi.

Beliau datang dari keluarga ternama, berpendidikan tinggi dan punya pengalaman dalam syarikat korporat. Beliau juga beruntung, dikelilingi sahabat dan kenalan yang berpotensi dan boleh diharap untuk berniaga.

Beliau memiliki pakej ideal untuk sukses dalam bisnes. Namun fitrah bisnes bukan semudah menyelesaikan rumus matematik. Banyak ombak dan bada yang perlu dilalui sebelum boleh genggam sukses.

Bukan kelulusan atau keluarga yang menyelamatkan beliau untuk terus berada dalam dunia perniagaan. Akibat kemerosotan syarikat, pekerjanya tinggal beberapa sahaja dari 30. Yang mendorong beliau untuk terus membangunkan syarikat ialah kesungguhan dan keberanian.

Ciri-ciri Orang Sukses

  1. Berdikari alias berdiri atas kaki sendiri. Tengku Farith memilih untuk tidak bekerja dalam syarikat milik ayahnya.
  2. Berkawan dengan orang yang betul. Tengku Farith satu tim bersama Nazir Razak, juga seorang yang kuat bekerja.
  3. Berani dan agresif. Tengku Fatih bersama rakan-rakannya melakukan bisnes bersama enjin pencari AltaVista. Dan ketika itu ialah tahun 1996, atau 14 tahun yang lalu. Internet ketika itu masih janggal.

Buku ini menceritakan sedikit sebanyak pengalaman Tengku Farith membina SKALI Group.

Buat para pedagang

Dakhil bin Ghunaim al-Awwad

Pengantar : Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin

Penerbit : Aqwam

Bisnes dan usahawan merupakan satu dari subjek kajian saya. Kalau ada yang tanya untuk kampus universiti mana? Maka jawabnya kampus universiti kehidupan.

Bisnesman dan solat

Allah perintah dalam Surah An-Nur 37-38 :

“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya ALlah menambah karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.”

Ayat ini khusus didedikasikan khusus kepada para peniaga. Perintah mengingati Allah, mendirikan solat dan membayar zakat. Padahal 3 perintah ini diwajibkan bukan sahaja kepada pedagang, bahkan semua orang beriman.

Namun penegasan ini dibuat kerana golongan pedagang seringkali terdedah untuk melalaikan 3 urusan ini. Dan di akhir ayat 38, Allah memberi jaminan untuk memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tentunya yang temasuk dalam sesiapa yang Dia kehendaki ialah orang yang patuh pada 3 perkara yang disebutkan dalam ayat sebelumnya.

Poin-poin lain

Saya menemukan beberapa hadith dan atsar (perkataan sahabat) berkaitan bisnes. Saya fikir ia sangat bermanfaat untuk dijadikan panduan.

1. Pesan untuk amanah dalam menjaga timbangan.  Bahkan ayat mengenai ancaman terhadap orang yang curang dalam timbangan disebut beberapa kali.

Al-Muthoffifin 1-4

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang. (yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi. dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidaklah orang-orang itu menyangka, bahwa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan.”

2. Sumpah palsu alias iklan yang berlebihan

“Sumpah dapat melariskan barangan, namun juga menghilangkan keberkahan @ keuntungan” (Bukhari & Muslim)

Tidak sedikit dari kalangan peniaga Muslim yang beriya-iya mempromosi produk mereka secara keterlaluan. Sehingga produk yang ditawar sebenarnya, ‘indah khabar dari rupa’.

Nabi mengharamkan jualan yang menyembunyikan kecacatan produk,

“Tidak halal dia menjual satu barang kepada saudaranya yang diketahui cacatnya, kecuali peniaga itu harus memberitahu pada saudara tersebut” (Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim ; hasan menurut Ibnu Hajar al-Asqalani)

Pasar dunia dan pasar akhirat

Atha bin Yasar selalu memanggil peniaga yang lalu di majjid. Dia bertanya apa yang mereka jual dan apa yang mereka mahu. Jika peniaga itu mahu menjual barang itu kepadanya maka Atha berkata, “Pergilah ke pasar dunia, di sini ialah pasat akhirat” (Muwatha’)

Jejak Bisnes Rasul

Prof Emiritus Dr Mohamed Sulaiman

Aizuddinur Zakaria

Pts Professional

395 halaman

Beli online di sisni.

Buku bisnes ada banyak jenis.

Yang paling baik (sekurang-kurangnya pada saya) buku bisnes yang ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Atau paling tidak menceritakan pengalaman bisnes orang lain.

Tiada satu formula khusus untuk bisnes yang berjaya. Melainkan ‘bisnes yang berjaya’ itu diberi definisi terlebih dahulu.

Formula kejayaan rangkaian restoran KFC mungkin tidak semuanya persis kejayaan restoran Satay Samuri (Satay Kajang).

Ada buku bisnes ditulis oleh ahli akademik untuk kuliah universiti. Biasanya buku jenis ini menghimpunkan teori dan kajian terhadap bisnes-bisnes yang telah wujud.

Ia menjadi sangat struktural, supaya mudah dikuliahkan dan mudah di’exam’kan.

Bisnes dan Perang

Agak sukar (mungkin di Malaysia) buku yang membicarakan cara bisnes Nabi Muhammad.

Buku ini mengambil analogi dari siri peperangan Nabi Muhammad untuk digunakan dalam teori bisnes. Sebahagian pengkaji melihat bagaiman nabi berperang, begitulah kaedah yang boleh diterapkan dalam bisnes.

Saya melihat dari sudut yang berbeza. Perang ialah situasi menang-kalah. Sama ada kalah atau mengalahkan. Sedangkan bisnes bukan kalah atau menang. Ia bukan urusniaga satu untung – satu rugi. Bisnes ialah aktiviti menukar barang dengan barang @ wang yang memuaskan hati kedua belah pihak. Hal ini tidak berlaku dalam peperangan.

Justeru mengambil analogi perang untuk bisnes kurang tepat.

Perniagaan ‘tijaarah

Saya menggagaskan prinsip bisnes nabi perlu diambil dari kaedah dakwah nabi.

Saya berikan beberapa bukti untuk menguatkan hipotesis ini. Di dalam Al-Quran, Allah sendiri menggunakan perkataan perniagaan (tijarah) dan jual beli (baiy’) untuk dakwah dan bisnes.

Al-Baqarah 2 : 16

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

Al-Faathir 35 :29

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian

Ash-Shaff 61 : 10

Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Jual beli

At-Taubah 9 :111

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Insya Allah, saya akan memanjangkan kajian berkaitan bisnes menggunakan kaedah dakwah.

Bisnes dan Cari Rezeki

Saya sedang membuat sedikit bacaan tentang bisnes secara Islami. Kerana tidak sedikit dari sahabat dan kenalan saya berbisnes. Ada yang melakukan bisnes secara online, ada yang terlibat dalam ‘pembuatan’ (manufacturing), ada  pula yang membuka kafeteria dan berbagai lagi. Sebahagian yang lain pula masih bekerja ‘makan gaji’, namun sudah mula berjinak-jinak dalam dunia bisnes.

Tidak syak lagi, bisnes sudah mula menjadi kerjaya pilihan.

Dalam tradisi Islam, tidak sedikit figure agama melibatkan diri dalam bisnes. Semua maklum Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) sebelum dilantik menjadi rasul adalah seorang bisnesman. Isteri beliau, Khadijah juga seorang peniaga yang masyhur dan kaya.

Juga peribadi-peribadi selepas beliau, termasuk yang paling dikenali kerana kayanya ialah Abdurrahman bin Auf.

Mula Bisnes

Pada yang tidak bisnes, awal bisnes pada mereka ialah ‘modal’. Ini adalah jawapan orang yang langsung tidak pernah menjual, hanya tahu membeli.

Rasulullah (selawat dan salam kepada beliau) bermodalkan dirinya sahaja untuk memulakan perniagaan. Yang mengeluarkan modal ‘material’ ialah Khadijah bin Khuwailid (ketika itu belum menjadi isteri nabi). Modal Nabi Muhammad ialah ‘kejujuran’ atau istilah modennya ‘integriti’.

Rezeki

Satu perkara yang tidak kalah penting, perlu berjalan seiring dengan kejujuran ialah memahami konsep rezeki menurut agama.

Beberapa soalan ini perlu difahami dengan benar :

  1. Maksud rezeki. Adakah ia sebatas wang dan ringgit sahaja. Atau setakat harta, tanah, rumah, barang kemas dan kereta.
  2. Pemberi rezeki. Siapakah yang memberi rezeki yang sebenar. Adakah ia majikan tempat bekerja? Adakah pelanggan yang memberikan rezeki kepada peniaga? Atau adakah pemerintah yang memberikan rezeki kepada penjawat awam?
  3. Mengurus rezeki : Kemana rezeki wajib disalurkan? Kemana rezeki haram dibelanjakan?

Ini beberapa soalan yang perlu dibenahi dengan cermat. Mencari rezeki bukan sekadar menambahkan wang dan harta. Perhatian saya dalam membaca tersangkut pada persoalan ini.

Saya menemui beberapa buah buku yang bermanfaat menyangkut isu rezeki.

  1. Bagaimana Salaf Mencari Rezeki oleh ‘Abdul Malik Al-Qosim (Al-Qowam, Solo 2006)
  2. Cara Mudah Mencari Rezeki oleh Fuad Shalih (Pustaka Tazkia, Jakarta 2009)
  3. Kunci Rezeki oleh Dr Abdullah Yassin (Al-Furqan, KL 2004)
  4. Pembuka 10 Kunci Mudah Kaya oleh Dr Fadhl Ilaahi (Al-Hidayah, KL 2008)
  5. Panduan Mencari Rezeki Halal oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni (Al-Shafa, KL 2009)

Dr Abdullah Yassin menyebutkan sebab datangnya rezeki secara umumnya ada dua jenis. Pertama sebab tabi’i dan sebab syar’ie.

Sebab tabi’ie

Sebab tabi’ie ialah berusaha dan bermacam-macam ikhtiar. Ia banyak dikaji oleh ahli jurujual, ahli pemasaran dan ahli perniagaan lain. Ia berasaskan pemerhatian dan pengalaman.

Ini dijelaskan dalam Surah Maryam 19 : 25

“Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak.”

Manakala dalam Surah Jumuah 62 : 10

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).”

Dua ayat ini sudah cukup untuk menjadi dalil, bahawa berusaha mencari rezeki itu sebahagian dati suruhan agama.

Sebab Syar’ie

Sebahagian orang mencari sebab sebatas sebab tabi’ie sahaja.

Sebahagian yang lain bekerja-berusaha ditambah dengan ikhtiar yang disangka syar’ie padahal tidak. Sedangkan orang bukan Islam pun tetap berdoa pada setiap pagi sebelum memulakan bisnes. Lihat sahaja kedai dan kilang milik orang Budha, pasti ada sudut untuk ibadah dan ‘memberi makan’ tuhan mereka. Dengan harapan rezeki mereka (baca : ong) akan dimurahkan pada hari itu.

Namun bagi sebahagian orang Islam yang tidak mengetahui pula, mereka berdoa dan meminta hajat di tempat keramat untuk melariskan perniagaan. Kubur-kubur orang saleh sering dijadikan lokasi untuk memohon hajat dan berdoa. Padahal perbuatan mereka itu termasuk perbuatan syirik, yakni bertawasul kepada Allah dengan perkara yang dilarang. Orang yang berbuat syirik sangat sempit rezeki mereka.

Allah melalui kitab dan Rasulnya menyatakan beberapa perkara yang akan memudahkan rezeki hambanya. Sekurang-kurangnya ada 10 amalan yang apabila dilakukan ikhlas kerana Allah, makan rezeki bertambah. Antaranya :

  1. Beriman dan bertaqwa kepada Allah
  2. Istighfar dan taubat
  3. Tawakkal kepada Allah
  4. Tekun beribadat
  5. Menunaikan haji dan umrah secara berturut-turut
  6. Membaiki silaturrahim
  7. Hijrah kepada kebaikan
  8. Sedekah
  9. Membantu orang miskin
  10. Infaq kepada penuntut ilmu

Semua amalan ini disebutkan dalam buku-buku yang saya baca. Semuanya disertakan dalil dari ayat Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.

Kisah Imam Al-Bukhari

Di dalam buku kecil ‘Bagaimana Salaf Mencari Rezeki’, penulis membawakan kisah Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari.

Beliau mewarisi harta yang banyak dari ayahnya (Ismail). Kerana cintanya kepada menuntu ilmu, Imam Bukhari menjalankan siste mudhorobah, iaitu memberikan modal kepada pengusaha lain untuk menguruskan bisnesnya. Dan beliau mengambil persen keuntungan sebagai pemodal. Dengan itu, beliau punya masa yang banyak untuk menuntut ilmu.

Dilaporkan pada setiap bulan beliau akan membelanjakan 500 dirham untuk fakir miskin, penuntut ilmu dan ahli hadith. Beginilah sikap seorang ahli perniagaan yang diredhai Allah.

Kisah Ali bin Abu Thalib

Dalam ‘Cara Mudah Mencari Rezeki’ pula saya menemukan satu kisah yang mengharukan. Kisah ini membuktikan, rezeki seseorang itu tetap miliknya. Hanya sahaja jalan yang ditempuh itu halal atau haram adalah pilihan individu.

Satu hari Ali bin Abu Thalib masuk masjid. Beliau meminta seorang lelaki yang berada di pintu masjid, “peganglah keldai ini”.

Tidak lama selepas itu Ali keluar membawa 2 dirham untuk diberi kepada lelaku tadi sebagai upah. Ternyata lelaki tadi telah hilang. Yang tinggal hanya keldai beliau dan tali pemegang keldai itu telah hilang bersama lelaki tadi.

Ali pun berlalu menunggang keldainya. Kemudian Ali memberi hambanya 2 dirham dan menyuruh, “belikan aku tali pemegang keldai di pasar”.

Hambanya kembali dari pasar membawa tali pemegang keldai, dan tali itu dicam oleh Ali menyerupai tali pemegang yang telah dicuri tadi. Tahulah Ali bahawa tali itu telah dijual oleh pencuri tadi di pasat dengan harga 2 dirham.

Ali berkata, “Dia telah menghalangi dirinya dari harta yang halal kerana tidak bersabar. Harta haram yang didapatkannya tidak akan melebihi apa yang telah ditentukan Allah baginya”.