Archive for the ‘Pengurusan’ Category

Survival Bisnes: Durian & Keretapi Tanah Melayu

Survival Bisnes: Durian & Keretapi Tanah Melayu

Kononnya durian paduka raja adalah durian paling sedap. Demikian kata seorang pak cik dari Mukim Pulau Tiga, Kg Gajah Perak. Sebuah daerah yang tersohor dengan buah-buahan tempatan terutama raja buah iaitu durian. Lupakan paduka raja. Musang King sahaja hari ini harganya sekilo mencecah RM30. Demikian juga jenis lain yang turut berharga seperti D24, durian tembaga, dan macam-macam lagi.

Maka tidak salah apabila dikatakan suatu masa dahulu sekali musim durian, ada yang mampu menikah dan naik haji dengan hasil jualan durian itu. Hari ini durian adalah salah satu sebab kemasukan pelancong dari luar negara terutama Jepun, Korea dan China. Ada dusun yang berhasil mengeluarkan 30,000 biji durian sekelas Musang King dalam satu-satu musim. Dengan anggaran sekilo RM25, ini bermakna pemilik dusun itu mampu meraih pendapatan sehingga RM750,000.

Namun kisah ‘durian runtuh’ itu tidak mendatar dan semudah itu. Durian Musang King yang terkenal dan diminati ramai itu lahir dari susah-payah pemilik dusun setelah gagal beberapa kali dalam industri perladangan sejak 1987! Era kegemilangan dan keemasan durian pernah melalui zaman-zaman getir dan gelap. Hampir-hampir sahaja ‘raja buah’ ini diperhambakan. Rentetan kemasukan buah import yang lebih variasi dan hype serta kemerosotan kualiti buah durian yang berada di pasaran.

Dan tidak dapat disangkal satu faktor yang paling utama ialah sikap sebilangan peniaga durian yang tidak amanah dan menjual buah yang berkualiti rendah pada harga kualiti tinggi. Maka hilang keberkahan pada urusniaga itu. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجُلٍ يَبِيعُ طَعَامًا، فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهِ فَإِذَا هُوَ مَغْشُوشٌ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ.

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melewati seseorang yang menjual makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, ternyata ia menipu, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Orang yang menipu (berbuat curang) bukan dari golongan kami.’ (riwayat Imam Muslim)

Akhirnya durian tetap durian dengan duri nya yang tajam & serta bau yang menyengat (pada sebahagian orang ia sengatan nikmat, manakala segelitir yang lain menjadi sebaliknya). Peniaga yang curang dan khianat tidak akan kekal dalam pasaran. Yang survive dan kekal dalam pasaran ialah mereka amanah, jujur menjaga kualiti produk & sabar serta istiqamah menghadapi detik-detik sukar. Abu Hurairah melaporkan, “Sumpah itu adalah pelaris produk dagangan namun menghilangkan berkah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Dan makna berkah ialah bertambah dan diberikan kebaikan di dalamnya.

Keretapi Tanah Melayu

Luka dan parut kehilangan Tanjung Pagar di Kota Singa masih terasa dan usahlah dikenang. Keretapi Tanah Melayu Berhad atau ringkasnya KTBM suatu masa dahulu adalah sistem pengangkutan pilihan dan utama. Sehingga pernah menjadi penaja utama rancangan sekelas dan sehype Akademi Fantasia. Siapa yang tidak lupa kepada Sinaran Passport Kegemilangan! (Ala kulli hal kedua rancangan itu lagha dan bergelumang di dalamnya maksiat dan mungkar, dan boleh jadi disebabkan itu bisnes KTMB merudum sejak hari itu).

Dengan bertambahnya pengeluaran kereta nasional serta peningkatan jaringan jalan raya dan lebuh raya, maka perlahan-lahan KTMB hilang pengaruh melainkan waktu-waktu perayaan terutama di pantai timur. Hingga ada suara sumbang dan sumbing (sangat tidak membina, jangan kawan dengan orang seperti ini) mencadangkan KTMB di muziumkan bersama artifak sejarah yang lain.

Itu zaman-zaman sukar dan mencabar yang ditempuhi oleh KTMB. Namun ternyata dan terbukti Allah itu Maha Adil. Dia menggilir-gilirkan sebuah kaum ke atas sebuah kaum yang lain agar kita mengambil pelajaran. Firman Allah yang maksudnya,

“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim,” (Terjemahan Surah Ali Imran: 140)

KTMB bertahan dan dalam waktu yang sama merangka plan dan merencana tindakan untuk survive dalam persaingan bisnes yang semakin kompleks. Hari ini KTMB mula kembali mengorak langkah sebagai salah satu dari alternatif utama dan terbaik sistem pengangkutan antara bandar. Tren ETS antara bandar walaupun harganya menjangkau dua kali ganda dari harga tiket bas ekspress, namun ia tetap menjadi pilihan utama penumpang. Semua seat hujung hujung minggu selalu penuh, jangan mimpi mahu membeli tiket secara ‘walk in’!

Tidak sekadar itu sepertinya KTMB bakal mengembalikan zaman kegemilangan nya apabila bersungguh-sungguh melaburkan kos yang besar untuk menaik-traf dan membina laluan landasan yang baharu menghubungkan bandar-bandar utama dari selatan tanah air hingga ke utara.

Dan diberitakan di bawah jalur-jalur rangkaian landasan KTMB itu tertanam ‘kapital’ senilai emas permata untuk mereka menerokai sektor bisnes lain yang lebih lumayan!

Ibrah & Pengajaran

Semua bisnes melalui pasang surutnya, naik dan turunnya. Bukankah demikian tafsir mimpi Nabi Yusuf kepada Raja dalam surah Yusuf? Sebagaimana dikisahkan dalam Surah Yusuf,

“(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru): “Yusuf, hai orang yang amat dipercaya, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya. Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur.” (Terjemahan Surah Yusuf: 46-49)

Beringat ketika senang dengan berjimat-cermat dan menabung. Dan ketika susah juga tetap berjimat-cermat, sabar dan tetap bertahan. Bukankah Allah berjanji dalam dua ayat tegas & berturut-turut bahawa “Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Terjemahan Surah Al-Insyirah: 6-7)

Berakit-rakit kehulu,

Berenang-renang ketepian,

Bersakit-sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian. 

Mohd Riduan b Khairi

PPY Borneo ‘Membangun Citra Insan’

Http://notausahawan.wordpress.com/

#SurvivalBisnes #Bisnes #NotaUsahawan #Perniagaan #Perdagangan #KTMB

Si Penjual Ikan Kering

“Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lezat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah Yang kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” (al-Ma’idah: 96)

Salah satu dari keunikan Semporna ialah kaum Bajau Laut atau disebut juga sebagai Bajau Pala-u. Sebahagian dari mereka sudah merubah dari kehidupan nomad di atas perahu ke rumah di atas air. Bagaiman aur dengan tebing, begitulah erat kehidupan Bajau Laut dengan air. Walaupun berumah, namun mereka masih selesa dan bahagian menetap di gigi air.

Kering Bajau LautManakala masih ada sebahagian yang memilih tinggal di atas rumah sampan dan hidup secara nomad. Jika di Semporna mereka sering hijrah ulang-alik sama ada di Lahad Datu atau di Semporna.

Difahamkan makanan ruji mereka ialah puttu (sejenis makanan berasaskan ubi kayu) dan mereka jarang-jarang makan nasi. Ia di makan bersama ikan dan hasilan laut yang lainnya seperti rumpai laut.

Satu dari keistimewaan Semporna selain gugusan kepulauan yang cantik lagi indah, ia juga kaya dengan hasil laut terutama ikan. Di sini kita akan dapat temui spesis ikan yang tidak pernah dilihat di tempat lain terutamanya semenanjung. Termasuk ikan yang dapat dilihat di pasar ialah ikan buntal. Namun awas ia beracun, hanya yang pandai dan berpengalaman sahaja tahu membuang racun dari perut ikan ini.

Selain dijual dan eksport secara segar, ikan-ikan ini juga dikeringkan.Ia sebagai satu dari teknologi storan untuk jangkamasa panjang. Memandangkan lama sebelum ini belum ada peti ais atau pun mesin membuat ais batu.

Saya suka melihat teknik dan kaedah Bajau Laut mengeringkan ikan. Kreatif, bijak, kos-effektif.

Saya yakin dan percaya berdasarkan beberapa maklumat bahawa Bajau Laut dahulunya adalah bangsa yang moden dan maju. Namun sebagaimana kebanyakan bangsa lain yang Allah lenyapkan dari muka bumi, boleh jadi tamadun mereka dahulu dilenyapkan oleh Allah; dan mereka ini adalah sisa-sisa yang tinggal.

Sahabat kami dari Lahad Datu Aljimar Almahir menyatakan bahawa dalam bahasa Bajau juga ada sastera dan puisi tersendiri.

 

Modal bisnes : Kejujuran

Modal pertama bisnes : Kejujuran

Seorang sahabat bisnes mengadu bahawa dia baharu sahaja ditipu sebanyak RM2000 ketika urusniaga. Menurutnya yang baharu berjinak-jinak dengan alam perniagaan, dia mengambil masa hampir dua bulan untuk menghimpun wang sebanyak itu.

Kejadian tipu-menipu dalam bisnes bukanlah suatu hal yang baharu diketahui sehari dua. Bahkan penipuan terhadap anak manusia telah berlaku sejak manusia pertama dicipta oleh Allah. Bukankah Adam dan Hawa itu terusir dari syurga dari syurga Allah akibat ditipu oleh iblis.

Seorang rakan bisnes saya yang lain juga pernah ditipu dalam jumlah yang lebih besar dari itu. Dianggarkan sejumlah ratusan ribu ringgit. Bahkan saya sendiri pernah mengalami pengalaman yang sama walaupun jumlah tidaklah sebesar itu.

Penipuan dalam bisnes berlaku dari jumlah sekecil 10 sen sehinggalah kepada nilai juta-jutaan. Bohong bukan isu kecil. Orang Melayu dahulu sudah mengingatkan dalam bidalan,

Siakap senohong gelama ikan duri,

Bercakap bohong lama-lama mencuri,

Ruang dan peluang seseorang peniaga untuk menipu terbuka luas. Baik dari harga, timbangan, kualiti dan berbagai lagi. Dek kerana itu Nabi menjanjikan kedudukan yang sangat mulia kepada peniaga yang dapat mempertahankan prinsip untuk berlaku jujur. Di dalam sebuah hadis Nabi bersabda maksudnya,

“Sesungguhnya ahli perniagaan yang jujur lagi amanah akan bersama-sama para Nabi, kumpulan orang yang jujur dan para syuhada (di hari kebangkitan)” (Riwayat At-Tirmizi) 

Ada banyak ruang dan peluang peniaga melakukan penipuan. Antaranya termasuk peniaga menipu pelanggan, peniaga menipu rakan kongsi dan peniaga menipu pembekal (supplier).

Peniaga yang jujur beroleh untung di dunia dan di akhirat

Dari Hakim bin Hizam Radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda:

اَلْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، أَوْ قَالَ: حَتَّى يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُوْرِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا.

“Penjual dan pembeli memiliki hak khiyar selama keduanya belum berpisah (atau beliau bersabda, ‘Hingga keduanya ber-pisah’), apabila keduanya berbuat jujur dan menjelaskan (keadaan dagangannya), maka akan diberkahi dalam jual belinya, (namun) apabila menutup-nutupinya dan berdusta, maka akan dihapus keberkahan jual belinya.” (Sahiih al-Bukhari (IX/328, no. 2110), Sahiih Muslim (III/ 1164, no. 1532), Sunan Abi Dawud (IX/330, no. 3442), Sunan at-Tirmidzi (II/359, no. 1264), Sunan an-Nasa-i (VII/244)

Peniaga yang tidak jujur pada diri sendiri

Namun yang paling parah dan kritikal ialah peniaga yang tidak amanah dengan dirinya sendiri.

Kajian menunjukkan kebanyakan bisnes tutup kedai adalah disebabkan oleh masalah dalaman atau pemilik bisnes itu sendiri.

Sebuah resort tepi laut di Sabah menutup operasinya selepas 3 tahun kerana sikap pemiliknya yang suka berjudi dan culas membayar hutang dengan pihak bank. Resort setaraf dua bintang yang pernah menjadi destinasi orang ramai suatu ketika dahulu kini disita hampir 2 tahun sementara kes mahkamah selesai.

Bisnes-tip ‘safar’

Mohd Riduan Khairi

Ada banyak beza trip untuk tujuan kerja/ bisnes dan trip untuk melancong. Melancong adalah kegiatan santai dan mengisi masa lapang. Manakala kerja/ bisnes ialah ‘cari makan’/ ma’isyah. Justeru pemilihan penginapan perlu tepat dan betul mengikut keperluan. Itu sebab kelas bisnes itu selalunya lebih mahal dan sedikit luxury (baca: mewah).

Bagi bisnes yang saiz perolehan kurang 1 juta/ tahun adalah tidak munasabah menyertai pakej business-class yang mungkin disediakan kepada bisnes yang perolehannya 1 juta setiap bulan. Namun untuk mengorbankan masa rehat dan ‘caj tenaga’ pekerja dengan memilih penginapan ‘hostel’ atau ‘backpackers’ juga lebih tidka munasabah.

Berdasarkan pengamalan peribadi saya dan rakan-rakan setugas yang sering melakukan trip-bisnes sejak 2004, mungkin beberpa tips ini boleh membantu. Untuk catakan perjalanan bisnes yang kami lalui melewati Hutan Kandis, Perlis hingga ke Tanjung Surat, Kota Tinggi Johor sampailah ke Tumpat dan Tangjung Simpang Mengayau, Kudat Sabah. Justeru perkongsian ini benar-benar perkongsian yang mudah-mudahan bermanfaat.

1. Bekalkan diri dan staf dengan ilmu ibadah ketika dalam tip ‘fiqh ibadah musafir’. Antara beberapa perkara penting tentang fiqh ketika musafir ialah solat jama’ dan qasar, rukhsah (kelonggaran untuk berbuka) puasa, istinjak (bersuci) tanpa menggunakan air, pedoman mencari kiblat tanpa kompas, dan cara-cara yang benar untuk tayammum.

Jika ilmu ini tidak dibekalkan, nescaya trip itu akan menjadi lebih sukar dan tidak mendapat keberkatan dari Allah. Dalam sebuah hadis Nabi menjelaskan bahawa, “safar itu azab”, sedangkan Islam adalah agama yang mudah untuk dilaksanakan.

2. Dapatkan maklumat awal berkaitan lokasi yang ingin dikunjungi. Hampir semua pekan di seluruh negara ada hotel bajet yang bagus kondisinya.

3. Keperluan tempat penginapan ialah;

  • Bantal, katil, cadar, selimut yang bersih
  • Tuala, kelengkapan mandian dan bilik air yang bersih
  • Sistem pengudaraan yang baik
  • Jauh dari gangguan restoran 24 jam, pub dan jalan raya yang sibuk
  • Tempat letak kereta yang relevan, tidak disaman awal pagi! Dan tidak terlalu jauh dari resepsi.
  • Kemudahan Wi-fi.

Semua hotel seharusnya menyediakan kemudahan asas ini. Hotel berbintang lazimnya mengenakan caj yang lebih pada hal-hal yang tidak asas sebagai contoh penyambut tetamu, sauna, kolam renang, pengering rambut, bilik air berbesen tab, tv plasma. Yang mana semua perkara ini tidak diperlukan dalam trip bisnes.

4. Berdasarkan pengalaman kami, hotel bajet yang selesa boleh didapat dari harga serendah RM50 hingga RM100 satu malam. Percaya atau tidak dengan harga RM50 di beberapa lokasi kita boleh menikmati penginapan yang selesa setaraf hotel 2 bintang. Ya, tolak tepi hotel-hotel di Hoi Ann yang menyediakan bilik depan kolam renang dengan harga serendah USD12 satu malam!

Terlebih lagi bandar yang dikunjungi banyak pelancong atau populasi tinggi. Antaranya termasuk Johor Bahru, Kota Bahru dan Mersing. Di Kota Bahru saya suka mengunjungi Hotel Big Elephant. Ia merupakan banglo besar yang diubah menjadi hotel. Memiliki tidak lebih 20 bilik, ruang parking seperti di halaman rumah. Dengan harga kurang RM80 sudah merasai penginapa yang eksklusif dan layanan ‘personal touch’.

Jika di Mersing pula saya memilih chalet di tepi pantai Tha Farm chalet. Milik lelaki tempatan yang beristerikan wanita Eropah. Jadi, chalet mereka direka gaya Eropah dengan kebun-kebun dan ayam-itik. Harganya tidka lebih RM50 satu malam. Dan banyak lagi penginapan bajet yang bagus-bagus jika kita rajin membuat carian.

Benih Hari Ini, Buah Hari Esok

Benih Hari Ini, Buah Hari Esok : Menentukan Hala Tuju Bisnes

Buah hari esok datangnya dari benih hari ini. Kalau yang di tanam durian D24 mana mungkin tumbuhnya Mu Sang King. Kalau yang ditanam rambutan gading, usah harap nanti tumbuh rambutan anak sekolah! Mustahil tanam padi tumbuhnya lalang.

Bisnes juga seperti itu. Kalau kita menjual nasi lemak, maka nasi lemaklah dibeli orang. Ketika kita menguli roti canai, maka roti canailah dibeli orang. Apa yang kita jual, itulah yang dibeli orang.

Bisnes adalah seperti orang seni yang menjual bakat seni dan persis atlit yang menjual bakat dan skil bersukan. Atlet yang sukses lagi mencipta nama sebagai juara dunia itu lazimnya ‘specialize’. Jarang kita dengar atlit lumba lari tiba-tiba menjadi perenang. Juga tidak pernah kita dengar atlit badminton memasuki kejohanan squasy. Walaupun raket mereka hampir-hampir sama bentuknya.

Bahkan pernahkah kita melihat Datuk Lee Chong Wei menyertai acara beregu atau Khairul Fahmi Chem Mat menjadi benteng pertahanan skuda Harimau Malaya?

Spesialisasi Bisnes 

Justeru bisnes yang sukses juga seharusnya mengambil iktibar dari kes itu. Untuk sukses dalam bisnes, hala tuju yang jelas amat penting dan signifikan.

Bisnes ada banyak mazhab dan metod. Ada halal dan ada haram. Keduanya menjanjikan pulangan dan keuntungan yang tinggi. Jual arak dan dadah boleh untung. Jual ayam goreng pun boleh berkembang seluruh dunia. Bisnes siang pun boleh jual. Bisnes larut malam pun boleh laku. Banyak syarikat beroperasi di siang hari. Ada juga kelab-kelab malam peroleh pulangan yang mewah lagi lumayan beroperasi tengah malam sampai pagi. Isunya bukan sekara buat duit dan untung. Perkara yang lebih utama dan penting di sisi bisnesman beriman ialah bagaimana memperoleh keuntungan dan kekayaan yang diberkati oleh Allah.

1. Antara perkara yang perlu dikenalpasti ketika merancang bisnes ialah mahu menjual satu/ beberapa produk atau banyak produk. Contohnya menjual nasi ayam sahaja atau nasi campur. Atau bisnes kedai runcit/ pasaraya yang menjual produk yang variasi atau membuka kedai konsep yang menjual produk tertentu sahaja.

Kedua-dua model ini boleh berjaya dan sudah terbukti berjaya. Bisnes ala kedai runcit pun boleh berkembang dan mendatangkan keuntungan seperti pasar raya Giant, Tesco dan Jusco. Adapun bisnes berkonsep pun jangan kita nafi mampu mendatangkan keuntungan maksimum seperti kedai konsep sandal crocs dan butik-butik konsep.

Dalam terma bisnes hala-hal begini diungkapkan dalam long tail vs short tail‘ dan juga niche market‘. Tulisan ini tidak berniat menjabarkan teori long tail atau niche market. Saya hanya berniat untuk menjelaskan bahawa pentingnya menetapkan hala tuju bisnes. Semakin jelas dan spesifik hala tuju itu, maka semakin mudah ia dicapai.

Sekali lagi buah yang kita tuai hari esok adalah dari benih yang kita tanam hari ini, ia meliputi semua urusan baik urusan duani mahupun urusan akhirat. Kita renungkan sebuah firman Allah buat menutup bicara,

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk hari esok (hari akhirat). Dan Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr, ayat 18)

Bisnes besar, Bisnes KECIL

Kata Sifu bisnes saya, “untuk besarkan ikan, maka perlu bersarkan kolam ikannya terlebih dahulu.”

Ikan keli benih terbaik sekalipun, kalau diternak dalam akuarium rumah, mustahil ia dapat membesar dengan baik.

Benih balak yang paling besar pun, kalau ditanam dalam pasu bunga, takkan kemana hasilnya.

Kedai Melayu dan kedai bukan Melayu

Bisnes bukan Melayu (terutamanya Cina di Malaysia), walaupun kecil namun jiwa pemilik mereka besar. Bisnes-bisnes kecil mereka akan berkumpul dengan sesama mereka untuk memberi impak BESAR. Peniaga air soya akan duduk di sebelah peniaga air tebu dan di sebelah peniaga buah dan seterusnya.

Ini dinamakan sebagai ‘kesan supermarket’ (supermarket effect). Sesuai dengan apa yang ditunjukkan dalam sunnah para sahabat dalam berniaga. Ketika berhijrah di Madinah, seorang sahabat bisnesman berjaya dan kaya meminta orang-orang Madinah menunjukkan beliau di mana pasar supaya beliau boleh berniaga.

Dari ‘sehelai sepinggang’ dalam masa beberapa tahun sahaja bisnes beliau berkembang maju. Ketika beliau meninggal, dilaporkan beliau mewariskan setiap seroang isterinya 100ribu dinar (bersamaan RM50 juta). Subhanallah. Satu tips yang dicontohkan leh beliau ialah, bisnes perlu ada pasar.

Berbeza banyak dengan sebilangan besar peniaga Melayu. Kalau boleh dalam satu-satu tempat mereka mahu sendiri-sendiri berniaga dan buka kedai.

Bahkan mereka resah dan susah hati apabila ada peniaga lain yang menjalankan bisnes berhampiran premis mereka. Dalam Islam ini dinamakan sebagai hasad. Yang terlebih ajaib dan menakjubkan, ada orang yang hasad dengan sesuatu perkara yang tidak patut dihasadkan. Sebagai contoh peniaga roti yang cemburu dan hasad dengan peniaga pakaian di sebelahnya. Walhal ia bukan lah suatu ancaman kepada bisnesnya.

Jangankan peniaga kecil saling memerlukan antara satu sama lain, bahkan bisnes besar dan multinasional juga saling mendorong untuk bersama-sama bisnes kecil. Lihat bagaimana hipermarket seperti Tesco, Giant dan Jusco mengajak bisnes-bisnes kecil berniaga bersama-sama di premis mereka.

Walhal, logiknya ; adalah lebih baik jika mereka sendiri menjual produk-produk yang dibekalkan. Lebih jualan dan lebih untung.

Bisnes Kedai Makan : Sedap Tapi Tidak Boleh Jual

Ramai orang beranggapan faktor utama menentukan kejayaan bisnes makanan ialah, sedap.

Bisnes bukan politik moden. Politik moden ditentukan oleh suara ramai (walaupun suara ramai itu masih boleh dibeli dengan wang). Manakala bisnes diukur dengan wang. Ada untung atau tidak ada untung (baca : rugi). Boleh jual atau tidak boleh jual. Sejarah bisnes mencatatkan tidak sedikit produk yang bagus dan bekualiti, namun tidak berjaya di pasaran. Banyak juga produk yang biasa-biasa, tetap berjaya di pasaran. Catatan ringkas ini tidak sama sekali menafikan pentingnya produk yang berkualiti atau dalam kes makanan ialah makanan yang sedap (berkhasiat faktor yang sangat diabaikan).

Minda Menjual vs Minda Membeli

Minda membeli mengatakan bisnes makanan yang berjaya mesti sedap. Ia juga mengatakan orang yang pandai masak, berpotensi besar untuk maju dalam bisnes makanan. Ramai yang mungkin lupa, ramai orang yang pandai memasak, namun takdirnya cemerlang di dapur sendiri sahaja. Memasak untuk bisnes seninya berbeza ; baik dari segi amaunnya dan tahan lamanya. Belum termasuk lagi storan bahan mentah, daya tahan bahan mentah dan banyak perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian.

Yang pandai melapah biar melapah, yang pandai merendang biar merendang”. Demikian pepatah yang sering dipesankan oleh seorang bisnesman Puan Ainon Mohd. Beliau merupakan Pengerusi Kumpulan Pts, sebuah syarikat yang berkembang secara eksponensial setiap tahun!

Seni memasak tomyam tidak sama dengan seni memasak roti canai. Memasaka satu jenis makanan dengan satu jenis makanan yang lain pun sudah berbeza, inikan pula seni memasak dan seni menjual. Tentu banyak bezanya.

Minda membeli mengatakan pandai memasak, makanya pandai menjual. Itu satu falasi yang sangat fatal.

Minda Menjual

Pembeli melihat produk. Selalunya pembeli mengatakan mereka membeli kerana 3 faktor, “harga yang murah, kualiti yang baik (sedap) dan kuantiti yang banyak“.

Penjual pula melihat duit. Mereka melakukan apa sahaja untuk menukar produk menjadi duit. Pembeli sanggup menghabiskan duit untuk mendapatkan produk yang mereka mahu. Dan penjual sanggup bekerja berhabis-habisan untuk menukar produk atau khidmat yang mereka tawarkan menjadi duit.

Dalam kes bisnes makanan, penjual melihat kualiti atau sedapnya makanan itu sebagai satu faktor yang akan membantu bisnes berkembang. Namun bukan itu sahaja, mereka tidak akan mengabaikan faktor-faktor lain yang mendorong bisnes berkembang seperti :

  • pengurusan kedai
  • khidmat pelanggan
  • pengurusan kewangan
  • pengurusan sumber manusia (pekerja)
  • kualiti produk yang konsisten
  • standar operation procedure (SOP)

Ini merupakan sebahagian dari perkara-perkara yang perlu diberi perhatian. Antara bacaan yang bermanfaat dalam bab ini ialah The E-Myth Revisited. Baca rebiu,

2 Syarat Mendapatkan Kuasa dan Pengaruh

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu, bahawa ia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(An-Nur : 55)

Melalui ayat di atas, Allah memberi janji kekuasaan kepada mereka yang menepati dua syarat :

  1. Orang-orang yang beriman
  2. Orang-orang yang melakukan amal soleh

Ayat-ayat Al-Qur’an tidak pernah sama sekali bertentangan satu sama lain. Bahkan, ia saling memperkuat dan menyokong satu sama lain. Ayat dari surah An-Nur ini senada dengan Surah Al-‘Asr.

Demi masa. Sesunnguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Baca tafsir Ibnu Katsir mengenai ayat ini. Tafsir Ibnu Katsir .

Meniru dalam bisnes

Saya percaya untuk survive, seorang bisnesman perlu pandai meniru.

Meniru, apabila ‘kena gaya’ menguntungkan.

Orang Melayu pandai meniru. Namun banyak bisnesman Melayu pandai meniru produk. Satu orang berniaga pisang goreng dan laris, maka esok lusa akan bertambah beberapa gerai pisang goreng.

Meniru ada seni dan ilmunya.

1. Meniru kaedah dan sistem

Saya selalu membandingkan apek cina yang menjual air tebu dan pak cik melayu yang menjual air tebu. Produknya sama, dan peralatannya mungkin sama.

Apa yang berbeza ialah sistem dan cara urus perniagaan. baik dari sudut susun atur peralatan ; beg plastik, straw, wang kecil dan kain lap. Banyak bezanya.

Tutup mata dahulu dengan kejayaan Lim Goh Tong dengan empayar Gentingnya atau Boon Siew dengan Honda nya. Sebahagian peniaga kecil agak sukar mencari titik-sambung antara kejayaan taukeh besar itu dengan perniagaan kecilnya.

Perhatikan dahulu bisnes-bisnes kecil orang cina dan bandingkan dengan bisnes-bisnesyang dijalankan orang melayu. Bezanya masih ketara.

2. Meniru sikap dan budaya kerja

S. O. P

Perniagaan mesti ada s.o.p. atau ‘standard operation procedure’.

Saya pernah bekerja beberapa bulan di sebuah restoran francais. Sungguh memang setiap perkara punya prosedurnya. Dari memasak makana hinggalah kepada mengelap meja, semuanya dibukukan tatacaranya. Maka tidak hairanlah apabila restoren francais ini berkembang ke seluruh dunia dan menguasai industri makanan ayam goreng.

Saya sedang membuat draf S.O.P untuk bisnes saya.

1. Cara-cara mengambil pesanan makanan.

  • Pastikan meja pelanggan bersih dan juga kering.
  • Letak menu yang cukup di hadapan pelanggan.
  • Ambil pesanan minuman kemudian makanan.
  • Semak senarai makanan dan minuman padan dengan jumlah pelanggan.
  • Ulang semak  pesanan sebelum meninggalkan meja pelangga.

2. Cara hidang makanan

  • Sebut nama hidang satu persatu ketika meletak makanan.
  • Letak makanan di hadapan pelanggan yang betul.
  • Betulkan posisi makanan menghadap pelanggan.
  • Letakkan set sudu / garfu di sebelah kanan set hidangan.

3. Cara mengambil bayaran

  • Ulang hidangan yang dipesan.
  • Sebut jumlah keseluruhan.
  • Terima wang denga kedua belah tangan.
  • Kembalikan jumlah wang dengan betul.
  • Sebutkan ‘Terima Kasih’ dan ‘Sila Datang Lagi’.