Archive for the ‘bisnes’ Tag

Kisah Sang Pencari Rezeki

Kisah Sang Pencari Rezeki 

Temuduga Mencari Kerja

Apakah pertimbangan yang utama bagi seseseorang untuk bekerja di sebuah organisasi atau syarikat? Satu faktor yang sering dijadikan penanda aras ialah kestabilan organisasi atau syarikat tersebut.

Setelah diterima bekerja, maka tentu pekerja tadi ingin tahu apakah peluang-peluang baginya untuk mengembangkan kerjayanya. Kalau hari ini kerjanya seorang kerani, apakah sehingga 10 atau 20 tahun akan datang masih di situ juga kariernya?

Begitu juga dengan bayaran. Apakah dia hanya akan menerima gaji asas semata-mata. Atau dia layak untuk mendapat elaun-elaun tambahan, kenaikan gaji tahunan, bonus, insentif dan macam-macam lagi.

Bagi seorang pekerja tidak ada yang lebih kritikal dan sensitive daripada gaji atau bayaran yang mereka peroleh. Andai tiba-tiba suatu hari gajinya terkurang barang satu ringgit, maka nescaya berpiketlah mereka di hadapan pejabat dan barangkali ada yang mogok tidak mahu bekerja hari itu. Tidak ada pekerja yang tidak peka dan prihatin akan gaji, bonus, komisen dan semua bentuk insentif yang berhak mereka terima.

Atau adakah pekerja yang bekerja selama berpuluh-puluh tahun, namun tidak pernah tahun akan berapa gajinya, elaunnya, bonus dan yang lain dari itu.

Ya. Jawapannya ada bahkan jumlahnya tidak sedikit. Memang benar seakan-akan mustahil menemui seorang pekerja yang bekerja selama puluhan tahun namun tidak mengenal majikannya dan tidak mengetahui selok-belok bayarannya. Dari serendah-rendah jawatan sehingga setinggi-tinggi jawatan, semua orang amat menitik-beratkan soal upah dan bayaran ketika bekerja.

Makanya kita sering menemui sejumlah mereka yang berpendapatan besar, namun tidak pernah merasa cukup. Semakin besar pendapatan, semakin besar pula keinginan yang muncul. Bekerjalah mereka dikejar nafsu dan baying-bayang sendiri.

Di sisi lain, ada orang bekerja berhempas-pulas siang malam pagi dan petang, namun pendapatan mereka masih cukup-cukup makan sahaja. Bahkan lebih banyak hari yang tidak mencukupi dari yang cukup. Walhal mereka sudah membanting tulang berhempas-pulas berusaha dan bekerja.

Demikian secebit potret mereka yang bekerja mencari rezeki. Berapa ramai orang berpeluh-peluh mengejar rezeki (walhal realitinya rezeki yang mengejar mereka), namun tidak kenal hakikat rezeki. Ramai yang kenal majikan yang membayar gaji kepada mereka saban bulan, melalui bank mana dan lebih detil sekian-sekian haribulan. Namun ramai juga manusia yang tidak mengenal siapakah yang sebenarnya memberikan mereka rezeki. Apakah sebab-sebab bertambahnya dan mudahnya urusan rezeki.

Kisah Orang Soleh Mencari Rezeki

Para rasul, para Nabi,demikian juga para sahabat; rata-rata kerja mereka biasa-biasa sahaja sebagaimana manusia lain.

“Tidaklah Allah mengutus seorang nabi pun melainkan pernah menggembala kambing.” Para sahabat bertanya,”Dan engkau sendiri?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,”Ya, aku juga dulu menggembalakan (kambing-kambing) milik penduduk Mekkah dengan upah beberapa qirath.” (Riwayat al-Bukhari) 

Abu Hurairah juga seorang pengembala kambing.

Kemudian Nabi menjelaskan juga perihal Nabi Daud Alaihisalam, “Sesungguhnya Nabi Daud tidak makan kecuali dari hasil jerih payahnya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari) 

Apa signifikan Rasulullah menyebutkan Nabi Daud berbanding nabi-nabi yang lain? Harus diingat Nabi Daud ialah seorang raja yang diberikan kerajaan yang mana gunung dan burung-burung juga tunduk kepadanya. Dari kerajaan ini kemudian diwariskan kepada anaknya Sulaiman bin Dawud, sebuah kerajaan yang tidak ada tolok-bandingnya sehingga akhir zaman. Pun begitu Nabi Daud tetap bekerja sendiri untuk menyara diri dan keluarganya.

Kita tidak pula mengetahui adanya formula khusus atau gerakan gembleng tenaga secara besar-besaran untuk meningkatkan taraf ekonomi atau memartabatkan taraf sosial mereka. Mereka bekerja sebagaimana biasa dengan etika asas urusniaga. Namun tetap mereka beroleh rezeki yang banyak. Imam Az-Zahabi menuliskan bahawa majoriti sahabat Nabi meninggalkan harta warisan yang banyak ketika wafat.

Direkodkan dalam kitab Sahih bahawa Abdurrahman bin Auf ketika wafat meninggalkan harta warisan untuk setiap isterinya sebanyak 80 ribu dinar (bersamaan RM 40 juta). Amru al As pula memiliki kebun anggur yang di dalamnya ada 1 juta kayu pancang. (Tarikh Ibnu Asakir) 

Kita wajar hairan dan takjub dengan kekayaan melimpah yang mereka miliki. Walhal mereka paling banyak infaq semasa hidupnya. Mereka paling sibuk berperang dan berdakwah menyebarkan Islam.

Jawapannya ialah (Bersambung):

1. Mereka mengenal Tuhan ar-Rozzaq Yang Maha Memberi Rezeki.

2. Memahami hakikat dan konsep rezeki.

3. Mengetahu sebab-sebab kauni dan syar’ie datangnya rezeki kepada seseorang.

4. Meninggalkan hal-hal yang menyebabkan rezeki terhalang.

 

Advertisements

Psikologi Menjual (Psychology of Selling)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Brian Tracy  (2004)

Penterjemah : Imran Yusuf (2008)

Penerbit : Pts Professional

Halaman : 236

Harga : Rm 39.90

Syarikat terbaik mempunyai tim jurujual yang terbaik.

Menjual adalah bab utama dan paling kritikan dalam bisnes. Mandahului bahagian pemasaran, akaun, dan lain-lain. Ia sangat asas.

Menjual nasi lemak

Seorang peniaga nasi lemak mungkin tidak punya sistem akaun atau kaedah pemasaran yang maju, namun dia tetap perlu menjual.

Brian Tracy, seorang ‘guru’ dalam tajuk jualan.

Semua orang adalah jurujual

Semua orang adalah jurujual. Peniaga nasi lemak menjual nasi lemaknya. Peniaga nasi lemak yang bagus sebenarnya bukan sekadar menjual nasi lemaknya, bahkan dia menjual layanan yang baik, menjual senyuman kepada pelanggannya dan menjual budi bahasa yang baik.

Pernah tak terjadi, kita membeli dengan sesebuah kedai atau peniaga bukan hanya kerana produknya, bahkan pakej yang dimiliki oleh perniagaan itu. Baik kebersihannya, layanannya, kualitinya dan aspek yang lain. Mungkin harganya sedikit mahal dan makanannya pun biasa-biasa sahaja, tetapi pelanggan tetap datang kerana layanannya.

Peniaga barang-barang menjual barangannya. Pernigaan dalam bidang perkhidmatan pula menjual khidmatnya.

Semua orang adalah jurujual

  1. Ibu bapa menjual akhlaq dan adab yang baik kepada anaknya
  2. Guru menjual ilmu kepada anak murid untuk diamalkan
  3. Pendakwah menjual keyakinan agama kepada pengikutnya untuk ditaati

Justeru apabila Allah menakdirkan semua Nabinya mengembala kambing (hadits dari Malik b Abas dalam Muwatta Imam Malik) dan Nabi Muhammad kemudiannya menjadi peniaga. Di dalam dua kegiatan ini ada banyak latihan dan ujian yang sangat bermanfaat ketika Nabi berdakwah kepada umatnya.

Memulakan Bisnes Sendiri

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Ainon Mohd.
Penerbit : PTS Professional
M/surat : 248
Harga : RM 29.00
Tahun Terbit : 2005

Sebelum menemui buku ini. Saya telahpun berkenalan dengan beberapa tokoh perniagaan dan penulis motivasi kewangan melalui tulisan-tulisan mereka. Antaranya adalah Chef Li (Rahsia Jutawan Senyap Terbongkar – Petunjuk Jalan Kejayaan), Azizi Ali (Siri-siri buku ‘jutawannya hampir semua saya miliki), Irfan Khairi dan semestinya Kiyosaki dengan kisah dua orang ayahnya.

Saya juga lama kenal dengan Puan Ainon lewat buku-buku psikologi dan komunikasi beliau. Sungguh mengujakan. Setelah berkenalan secara personal dengan beliau, kemudian barulah saya menyelak helai-helain buku Memulakan Bisnes Sendiri (selepas ini disebut MBS) ini.

Kata pengantar buku ini cukup untuk membuktikan wibawa penulis wanita ini.

“Kebanyakan orang yang mengambil kursus pengurusan pernigaan tidak membuka bisnes sendiri. Kebanyakan orang yang berniaga tidak membaca buku-buku panduan perniagaan”.

Ayat sakti ini yang memancing saya untuk menamatkan justru menghadamkan isi da kandungannya secepat mungkin.

MBS ada 11 bab. Penulis memulakannya dengan membincangkan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan-usahawan (khususnya usahawan melayu). Begitu banyak faktor-faktor kegagalan sesuatu perniagaan dikongsi bersama dalam buku ini.

Banyak individu mahupun syarikat memulakan perniagaan atas sebab yang salah. Ada yang memulakan pernigaan kerana ada peluang. Tidak sedikit juga yang memulakan pernigaan kerana ‘sudah ada modal’. Begitu juga yang memulakan perniagaan kerana mengharapkan menjadi kaya cepat dan mudah. Sebab-sebab yang tidak teguh inilah yang mengakibatkan lebih 90 % pernigaan bertahan hanya 3 tahun sahaja. Selepas itu banyak yang gulung tikar.

Peluang peniaga melayu ternyata lebih luas (sebenarnya) berbanding peniaga-peniaga lain yang tidak berstatus bumiputera. Namun hanya berbekalkan peluang tidak menjanjikan kejayaan. Untuk berniaga, lebih dari soal peluang, modal dan ruang diperlukan untuk berjaya.

Dalam bab 6 penulis menceritakan beberapa situasi latar belakang usahawan baru. Dari ‘Orang pandai’ memulakan bisnes, Orang korporat memulakan bisnes hinggalah Anak orang kaya mahu berniaga. Kesemuanya jelas tidak menjamin indvidu itu berjaya dalam bidang perniagaan tanpa cara dan kaedah yang betul.

Kesimpulannya, buku ini sangat bagus dibaca oleh individu yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Apa yang saya temui dalam naskah kecil ini (pada saya kecil kerana isinya besar dan perlu di jelaskan dengan lebih panjang dan terperinci) memuatkan terlalu banyak pedoman dan nasihat sebelum memulakan @ menguruskan perniagaan. Penulis membawa pembaca ke suatu sisi yang lain dalam bisnes. Apa yang tidak dapat diperolehi dari buku-buku lain (Azizi Ali dan Chef Li).

Bacalah! Kalau tidak kamu akan menyesal.

Strategi Bisnes Manchester United (2009)

Strategi Bisnes Manchester United (2009)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Ashadi Zain

Penerbit : PTS Professional

Mukasurat : 125 halaman

Harga : RM16.00

Manchester United sebuah jenama yang besar dan dikenali terutama kepada peminat sukan.

Manchester United (pernah) memiliki beberapa pemain terbaik England dan dunia. Antaranya David Beckham, Michael Owen dan Ronaldo (betulkan jika ada kesilapan kerana saya tidak arif dalam dunia bola sepak).

Manchester ialah sebuah nama tempat di England.

Manchester United pula ialah nama bagi sebuah pasukan bola sepak.

Strategi

Strageti utama MU bukan sekadar menjadi pasukan bola sepak yang hebat dan disegani. Ia lebih dari itu. MU dinaikkan menjadi satu jenama yang digilai ramai. Ini kunci utama kejayaan bisnes MU.

MU memanfaat semua sudut bisnes yang mereka miliki. Bermula dengan stadium Old Trafford hinggalah ke mercandise, penerbitan dan ‘menjual’ pemain-pemainnya sendiri dengan harga yang sangat mahal.

Hari ini apa-apa sahaja yang bercop Manhester boleh dijual dan bernilai. Pernah kalian mendengar sebuah filem melayu berjudul ‘Dari Jampoh ke Manchester‘?

Esok lusa, jangan terkejut kalau ada kicap atau sos tiram jenama MU. Percayalah.

MU dan Air Asia

Satu syarikat perniagaan tempatan yang dilihat berusaha menyalin resipi kejayaan MU ialah syarikat penerbangan Air Asia. Air Asia berusaha untuk menjadi satu jenama, bukan lagi sekadar menjual tiket kapal terbang. Melalui syarikat bersekutu, kini mereka memiliki rangkaian hotel sendiri, Tune Hotel. Dan kini rangkaian talian telefon mudah alih, Tunetalk.

Bird of a feather flock together‘ atau pepatah melayu mengatakan ‘enggang sama enggan, pipit sama pipit’, hari ini Air Asia sudah mula menjali kerjasama dengan MU. Ia bermula dengan mengiklankan poster MU di badan pesawat Air Asia dan jersi pemain. Jangan hairan suatu hari nanti,  jika kad merah yang dilayangkan kepada pemain yang main kasar tertera lambar Air Asia. Ada usaha dibuat kearah itu.

Beli buku klik di sini.

Rukun Bisnes ; Sabar adalah rukun perniagaan

Sabar adalah rukun perniagaan 

Peniaga kecil di Vietnam

Peniaga kecil di Vietnam

Jika sabar itu merupakan rukun asas bagi dakwah, demikian juga dalam perniagaan di atas dunia. Jika sebesar-besar keberuntungan; yakni ganjaran syurga dapat diperoleh dengan sabar, maka tentunya sedikit untung dan laba dari perniagaan di atas dunia dapat dicapai dengan bersabar.

Kalau kota Rom tidak dibina dalam masa satu hari, demikian juga sebuah empayar perniagaan. Semua perniagaan yang berkembang dan besar pada hari ini bukanlah dibina semalam atau hanya beberapa tahun yang lepas. Kicap Kipas Udang yang diminati ramai itu diasaskan Datuk Hj Lambak Mohamad kira-kira 25 tahun yang lalu. Demikian juga rangkaian peralatan sukan al-Ikhsan itu mula diasaskan oleh Ali Hassan itu sudah berusia 14 tahun. Dan beliau sendiri sudah mula belajar berniaga sejak usia 11 tahun!

Peniagaan bermatlamatkan keuntungan. Namun tidak sering sesebuah perniagaan itu diuji dengan kerugiaan.

Ramai orang sangka sabar dalam perniagaan itu apabila diuji dengan kerugiaan dan tidak dapat membuat jualan. Sangkaan ini ternyata separuh benar. Sabar menghadapi kerugian ialah dengan redha dengan apa yang telah Allah tentukan. Kemudian dalam masa yang sama lekas-lekas melakukan post-mortem terhadap kelemahan dan kesilapan yang dilakukan. Dan terus mengumpul kekuatan untuk bangkit semula.

Nyatakan kepada kita, empayar bisnes mana yang tidak pernah diuji dengan kerugian. Bukan sahaja perniagana kecil, bahkan sering juga kita terdengar adanyak perniagann yang besar-besar itu rugi dan lingkup!

Bahkan hampir semua kisah-kisah kejayaan pemilik empayar peniagaan yang besar-besar itu disulami dengan berbagai halangan dan rintangan.

Saya dan rakan-rakan bisnes secara telah menutup sekian banyak kiosk dan kedai bermula di Tesco Pulau Pinang, kemudian Tesco Sri Alam, Pasir Gudang, Jusco Seremban, pasar malam di sekitar Seremban, kedai makan di Gombak dan beberapa lagi yang bakal ditutup. Namun itu tidak sedikitpun membuatkan kami berganjak walau setapak. Kerana kami yakin ini adalah lumrah dan anak tangga untuk berjaya.

Rukun Bisnes ; Dakwah itu seperti perniagaan

Dakwah itu seperti perniagaan 

Allah, Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki itu membuat perumpamaan dakwah sebagai sebuah perniagaan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah As-Saff, ayat 10-11) 

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan shalat dan menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi.” (Surah al-Fathir ayat 29)

Demikian juga  Allah mengibaratkan orang-orang musyrik sebagai menjual/ menukar  (dari perkataan isytara yang bermaksud jual) ayat-ayat Allah dengan harga yang murah,

Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan. (Surah at-Taubah, ayat  9)

“Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.” (Surah Ali-‘Imraan , ayat 199)

Salah satu rukun dan prinsip asas dakwah yang paling asas ialah sabar, seperti disebutkan dalam Surah al-Asr. Demikian juga pesan yang disebutkan oleh Allah kepada semuarasul dan nabi yang menyebarkan dakwah, Di dalam ayat yang lain disebut-kan,

“Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka.(surah Al-Ahqaaf, ayat 35) 

Tolak-ansur Dalam Wang dan Hutang

Sahabat Nabi (selawat dan salam buat beliau), Hudzaifah melaporkan, ada seorang lelaki meninggal dunia dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemudian ditanya, ”Apakah amalan kamu?”.

Kemudian Rasulullah menyambung semula, ‘lelaki itu cuba mengingat semula dan berkata “Dulu aku seorang bisnesman. Aku menangguhkan (mengutip hutang) orang yang dalam kesusahan, dan aku bertolak-ansur dalam masalah wang”.

Maka dosanya diampuni.

(Sahih Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan maksudnya ialah

  • sikap toleransi dan memaafkan ketika meminta atau menuntut haknya
  • dan mahu menerima sesuatu yang di dalamnya ada sedikit kekurangan.

(Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi)

Penjelasan

Hadith ini menjelaskan etika seorang bisnesman terhadap hutang.

Dalam bisnes, adalah sukar (bahkan mungkin tidak logik) tiada hutang. Begitu juga urusan kewagan peribadi. Islam membenarkan hutang, namun mengariskan beberapa panduan dan etika untuk menjaga kepentingan pemiutang dan penghutang.

(Namun catatan ini tidak akan membincangkan soal riba atau sistem bank)

Satu dari etika penghutang ialah melunaskan hutang pada waktu yang dijanjikan. Hutang yang tidak diurus dengan baik akan merosakkan hubungan baik antara penghutang dan pemiutang.

Dalam bisnes penghutang-pemiutang boleh jadi peruncit-pemborong atau pemborong-pengedar.

Hutang adalah kepercayaan

Selalunya hutang atau ‘kredit’ diberikan kepada pihak yang dipercayai. Dalam bisnes, hanya peniaga atau syarikat yang dipercayai sahaja diberikan keistimewaan hutang atau ‘tempoh kredit’.

Mengapa orang Melayu sukar mendapatkan kredit dari taukeh Cina?

Ramai peniaga Melayu mengeluh kerana sukar mendapatkan bekalan stok @ produk secara hutang. Ini bukan krisis kaum atau agama.

Namun yang lebih benar ialah krisis kepercayaan.

‘Track-record’ sebahagian peniaga Melayu sangat buruk dalam berhutang. Kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga. Isunya sekarang bukan nila setitik, bahkan mungkin nila sebotol.

Apa terjadi jika tidak dapat bayar hutang?

Orang-orang bisnes sangat maklum, bahawa bisnes ada pasang-surutnya. Pun begitu hutang tetap perlu dilunaskan. Paling tidak bayar separuh atau sebahagian dari jumpah yang dijadualkan. Dan berjumpa dengan pemiutang untuk menjelaskan situasi.

Selalunya taukeh atau pemiutang akan faham dan bertolak-ansur. Kerana mereka juga menjalankan bisnes dan berurusan dengan ramai lagi penghutang yang lain.

Apa yang berlaku selalunya ialah, penghutang menghilangkan diri.

Jika ada kesempatan, saya akan bawakan hadith-hadith tentang hutang pada nota yang lain.

3 Ciri Rakan Bisnes

Memilih rakan-bisnes (bisnes partner) tidak ubah seperti memilih isteri. Petunjuknya mudah, bukankah Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) memilih rakan-bisnes nya, Khadijah bt Khuwailid sebagai isteri.

Analoginya mudah, kita sebagai suami, yang satu lagi sebagai isteri. Manakala bisnes itu sendiri adalah rumahtangga.

Setakat ini saya menyenaraikan sekurang-kurangnya 3 ciri penting memilih rakan-bisnes :

Pertama : Jujur @ intergiti

Persis mencari calon rumah tangga, kejujuran adalah perkara yang paling asas dan penting. Rumah tangga menguruskan perasaan dan perhubungan, manakala bisnes menguruskan wang. Tidak pernah ada zaman yang wang tidak punya nilai.

Ramai orang ke-sana ke masi mencari rakan-bisnes, dengan beranggapan asal ada wang, semua bisnes boleh jalan.

Persoalan yang pertama, bolehkan kita mempercayai rakan-bisnes yang baru kita kenal?

Soalan yang kedua, “Bolehkah rakan-bisnes kita mempercayai kita begitu sahaja?”

Adalah sesuatu yang pelik, seseorang boleh mempercayai sesorang yang lain hanya dengan beberapa hari perkenalan. Tentu ada udang di seballik batu, jika ada yang demikian. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan wang dan modal yang besar.

Hari ini tidak sedikit orang yang terpedaya dengan peluang bisnes yang menjanjikan pulangan yang muluk-muluk.

Rakan-bisnes Nabi Muhammad dan Khadijah

Khadijah binti Khuwailid memilih Muhammad bin Abdullah (selawat dan salam buat beliau) atas dasar ‘percaya’. Kepercayaan itu tidak datang sendiri, melainkan Nabi Muhammad bekerja terlebih dahulu bersama Khadijah. Disokong lagi dengan rekomendasi oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Khadijah memiliki modal, manakala Nabu Muhammad memiliki kepercayaan (kejujuran) dan kepakaran berdagang.

Kepercayaan dibina dan tidak hadir sekelip mata.

Justeru tidak hairan pemilik syarikat-syarikat yang besar dan maju selalunya hasil perkongsian adik-beradik. Sebagai contoh KRU Production dimiliki oleh 3 adik-beradik KRU.

Kedua : Kepakaran

Perkara kedua yang perlu yang perlu diberi perhatian ialah apa kepakaran atau sumbangan yang boleh diberikan kepada perniagaan.

Ada orang boleh menyumbang keringat untuk sama-sama membangunkan bisnes. Ini yang paling baik.

Ada pula yang boleh memberi khidmat nasihat.

Ada yang boleh menyumbangkan ‘network’. Tidak sedikit Dato dan Tan Sri dilibatkan dalam perniagaan untuk dapat kelebihan ini.

Ada yang punya wang lebihan yang banyak untuk dijadikan modal. Namun saya suka meletakkan golongan ini sebagai pemodal. Bukan rakan-bisnes. Lebih-lebih lagi orang yang punya wang, namun langsung tidak pernah terbilat dalam bisnes. Mereka cenderung menganggap bisnes semestinya untung dan mudah. Nasihatkan orang ini, “Jangan bisnes, sebaliknya masuk ASB!”
Pada awalnya saya meletakkan dua ciri ini sahaja sebagai pra-syarat utama menjadi rakan-niaga, jujur dan punya kepakaran. Namun, selepas beberapa kali melibatkan diri dalam perniagaan perkongsian, saya menemui satu lagi ciri rakan-bisesn yang perlu.

Ketiga : Satu faham aliran dalam bisnes

Atau dengan perkataan lain persefahaman dalam menguruskan bisnes.

Bisnes juga ada mazhab. Ada orang bisnes kontrak-kontrak. Mereka menjalankan perniagaan dengan mengejar kontrak dan tender. Tidak dapat dinafikan, kontrak dan tender menjanjikan ‘wang besar’. Selalunya angka-angkanya puluh-ribu dan ratus ribu. Bahkan banyak juga yang juta-juta.

Ada orang bisnes kecil-kecil. Modus operandinya berniaga di premis yang murah seperti pasar malam, pasar tani atau di tepi-tepi jalan. Tak dapat dinafikan, kalau kena gayanya tetap mendatangkan keuntungan.

Seorang bekas rakan-bisnes saya pernah menceritakan, pendapatan (untung kasar) seorang peniaga pasar malam di Terengganu mencecah RM 20,000 satu bulan. Modus operandinya hanya berniaga di pasar malam. Berniaga pasar malam tidak ada apa salahnya, cuma berterusa berniaga dengan cara dan kedah yang sama, itu yang menjadi masalah. Apabila di ajak menyewa restoren tidak mahu. Ini sebagai contoh.

Ada pula orang yang suka jual harga murah. Kalau boleh semua nak murah, semua mahu diskaun. Sedang yang seorang lagi, mahu bisnes elit. Katanya, “Orang kaya bangga dengan mahalnya produk yang mereka beli. Dan orang kaya takkan beli barang yang murah, dengan andaian tidak berkualiti”.

Bagaimana jika suami mahu hantar anak ke sekolah Inggeris, dan isteri pula kata, “Sekolah agama“.

Saya fikir apabila 3 perkara asas ini dapat ditangani, insya Allah perniagaan dapat survive dan berkembang baik.

Pendek kata, tidak semua wanita cantik dan baik sesuai menjadi isteri kita. Begitu juga, tidak semua lelaki tampan dan baik boleh jadi suami kita. Untuk menjadi teman hidup ia lebih dari sekadar baik dan cantik.

Perang Harga

Perang harga ialah menurunkan harga lebih rendah dari harga pesaing bisnes kita.

Biasanya ia dilakukan oleh ‘budak-budak besar’ dalam bisnes. Sebagai contoh hipermarket besar seperti Tesco, Carefour dan Giant. Lihat setiap hari mereka berkempen bahawa produk lebih murah di premis mereka berbanding premis pesaing.

Perang harga tidak membawa faedah yang besar kepada industri. Berniaga sahajalah dengan harga yang sama. Bukankah rezeki Allah yang tentukan.

Perang harga dilakukan dengan tujuan pelanggan akan datang membeli dari kita dan tidak dari pesaing kita. Dan jika boleh, semua orang membeli hanya dari kita, dan tidak dari peniaga lain. Akhirnya peniaga lain tutup kedai atau berjual barang lain. Ini tujuan perang harga.

Dalam kes hipermarket yang melancarkan perang harga, saya yakin (ini hipotesis saya) akan ada yang kalah di kemudian hari. Akan ada hipermarket yang akan ‘ditelan’ (baca : dibeli) oleh hipermarket yang lain.

Perang harga adalah satu persaingan

Satu mazhab berbisnes berpegang kepada persaingan. Siapa yang cekap bersaing, maka dialah yang akan lebih maju dan untung.

Persaingan ialah menang dengan cara mengalahkan orang lain, kata Puan Ainon Mohd Pengerusi Kumpulan Pts. Atau dalam istilah bisnes membuat untung dengan membuatkan orang lain rugi.

Bersaing ialah berperang. Dalam perang satu pihak menang dan satu pihak kalah. Atau tak jadi perang dan berdamai. Jarang sekali perang seri. Jika seri sekali pun (kalau ada) masih ada yang cedera dan mati!

Adakah nature bisnes juga begitu? Seorang menjual, seorang membeli. Ini benar. Adakah ini membawa maksud penjual untung, pembeli rugi. Sedangkan perniagaan adalah kegiatan menukar barang dengan wang (dulu sebelum ada matawang barang ditukar dengan barang juga) dan kedua-dua belah pihak setuju dan redha atas urusniaga itu.

Dan dalam bisnes ada istilah situasi menang-menang.

Kelirunisasi

Ada orang percaya takkan ada orang untung kalau tiada orang yang rugi.

Sama nafas juga dengan kenyataan ini ialah, tidak ada bisnes jika tidak ada rasuah.

Atau tidak ada bisnes jika tidka terlibat dengan riba.

Ini saya namakan sebagai kekeliruan atau kata seorang pendakwah Indonesia ‘kelirunisasi’. Keliru lebih parah dari tidak tahu atau bodoh. Orang yang bodoh tahu yang mereka itu tidak tahu. Sedangkan keliru ialah orang yang tidak sedar akan kesalahan sendiri. Mereka sangka mereka benar, padahal tidak.

Persaingan adalah sesuatu yang tidak relevan

Zaman siber ini persaingan adalah sesuatu yang tidak relevan. Pasaran semakin luas. Penjual kampungan di Ipoh boleh menjual produk mereka kepada pembeli di Jerman.

Beberapa pengendali kedai online kecil-kecil melaporkan, pembeli mereka datang dari seluruh dunia. Seorang peniaga yang menjual buku-buku Indonesia menerima pesanan dari pembeli di Indonesia. Bukankah ini suatu yang pelik. Padahal jika difikirkan, membeli di negara asal jauh lebih murah.

Cara terbaik dalam bersaing ialah tidak bersaing. Ini kata penulis buku “Blue Ocean Strategy”.

Jual sahaja lah, tanpa perlu memikirkan persaingan. Jual produk kita dengan harga lebih kurang harga dalam pasaran. Jangan sesekali rosakkan ‘spoil’ pasaran dengan menawarkan harga yang bukan-bukan (maksudnya lebih rendah dari range harga pasaran). Kalau kita tidak mahu berniaga dalam, tapi fikir nasib peniaga-peniaga lain yang sudah berniaga lama.

Bersaing dengan merosakkan range harga adalah satu jenayah dalam dunia perniagaan.

Tawar Menawar dalam Bisnes

Cuba imbas kembali pengalaman kita membeli di kedai-kedai orang Cina. Bukan pengalaman memberi ais krim, gula-gula atau chewing gum, sebaliknya pengalaman berbelanja dengan wang yang lebih besar. Sebagai contoh membeli barang-barang dapur (stok sebulan), atau membeli peralatan pertukangan di kedai ‘hardware’ (ayah saya seorang tukang yang selalu berurusan dengan kedai hardware).

Saya membuat pemerhatian kepada jurujual di kedai-kedai Cina.

Selalunya taukeh (yang selalu menjaga mesin wang) akan berbual-bual dengan pelanggan. Kalau pelanggan itu, pelanggan tetap itu situasi biasa. Namun, jika pelanggan itu pelanggan baru (yang belum pernah datang), jurujual tetap akan cuba berbual walau sepotong dua ayat.

Membina hubungan baik peniaga-pelanggan

Tujuannya apa? Tujuannya untuk membina hubungan baik peniaga-pelanggan. Amat jarang sekali peniaga Cina bersifat sombong dengan pelanggan. Lebih-lebih lagi pelanggan yang membawa wang besar.

Dan peniaga-peniaga Cina paling suka melayani perminataan diskaun dari pelanggan. Walaupun seolah-olah memberi dengan cara terpaksa, jarang sekali permintaan diskaun tidak dilayan, bahkan amat pelik jika tiada diskaun diberikan. Pada peniaga diskaun adalah senjata mengikat hati pelanggan untuk datang lagi ke kedai.

Pelanggan mana yang tidak suka menerima diskaun, walaupun satu ringgit.

Paling tidak, jika pelanggan tidak meminta diskaun, peniaga akan cuba sedaya upaya memberi layanan terbaik kepada pelanggan. Dan kadang kala peniaga menggunakan trik ‘hadiah percuma’. Dan biasanya hadir percuma ini diambil dari stok-stok yang kurang laku. Dan sekali lagi, pelanggan mana yang tidak suka pemberian percuma, walaupun sebatang pen yang berharga RM1.

Bukan nilainya yang akan diingat, sebaliknya budi baik (kononnya, padahal trik) peniaga. Dan pelanggan yang gembira (kerana menerima diskaun beberapa ringgit atau hadiah pen) akan datang dan datang lagi ke kedai yang sama.

Bahkan peniaga Cina akan gusar dan ragu-ragu apabila pembeli langsung tidak tawar-menawar. Kerana satu dari senjata utama pelanggan-tetap ialah tawar-menawar. Dari satu sudut, peniaga lebih untung kerana tidak perlu memberi diskaun. Namun dari sudut lain yang lebih penting adakah pelanggan itu akan datang lagi? Lazimnya, 80 % jualan datang dari pelanggan tetap.

Ini sangat jarang berlaku kepada premis perniagaan orang Melayu. Sesuatu yang penting untuk diberi perhatian.

Tawar-menawar ialah proses memenangi hati pelanggan.

Pengalaman saya menjual buku di sebuah acara majlis makan malam. Yang hadir pada majlis itu, secara umumnya orang yang berwang, maklumlah makan malam sahaja sudah dicaj RM 50.00. Sedangkan kita boleh makan malam dengan harga RM 5.00.

Buku-buku yang saya jual secara perbandingan lebih murah dari harga di pasaran. Secara kasar 20%-40% lebih rendah dari harga di kedai-kedai buku. Pun begitu masih ramai pelanggan menanyakan, “Boleh diskaun lagi”. Ada pelanggan yang bersungguh-sungguh meminta diskaun, sedangkan buku-buku sudah pun diberi diskaun yang tinggi.

Sebenarnya, bukan beberapa ringgit yang mahu mereka jimat, kerana mereka sudahpun berjimat banyak. Sebaliknya mereka mahu sedikit layanan istimewa dan eksklusif.

Justeru itu meletakkan harga kemudian memberikan diskaun adalah lebih baik berbanding terus meletakkan harga rendah tanpa sebarang diskaun.

Pelanggan memandang diskaun, bukan harganya.

Tawar-menawar dalam kedai harga tetap

Namun bagaimana pula dengan kedai-kedai besar dan pasaraya yang menjual dengan harga tetap. Tentu sahaja tidak ada orang yang berani berkata kepada pelayan cashier Tesco atau Giant, “Encik! Harga boleh kurangkah?”

Dari satu sudut tiada tawar-menawar dibenarkan di kedai jenis ini. Semua harga adalah harga tetap. Pun begitu proses tawar-menawar tetap berlaku dalam beberapa bentuk :

1. Diskaun. Kaedah ini paling banyak di gunakan.
2. Beli 5 percuma 1. Ini biasa dalam paket-paket besar. Untuk menggalakkan pelanggan membeli banyak.
3. Mata ganjaran dengan kad keahlian.
4. Vaucer.
5. Cabutan bertuah.
6. Peraduan.

Semua perkara ini dilakukan untuk memenangi hati pelanggan. Mereka boleh kedai lain, namun mereka datang ke kedai kita kerana nilai tambah yang bakal mereka perolehi. Mereka berbelanja di kedai kita, puas hati dan akan datang lagi untuk berbelanja. (Satu aspek pelanggan puas hati ialah layanan atau khidmat pelanggan “customer service”, saya akan catatkan kemudian secara detil).

Nota :

1. Catatan ini cuba memberi perhatian kepada tajuk tawar-menawar. Dari catatan ini saya fikir, beberapa tajuk boleh dikembangkan secara khusus seperti khidmat pelanggan, jualan ulangan (return sales), khidmat selepas jualan (service after sales) dan beberapa tajuk lain.

2. Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bisnes dan pengurusan. Catatan saya ini adalah hasil pemerhatian peribadi, pengalaman membeli lebih 20 tahun, pengalaman menjual beberapa tahun, hasil pembacaan dan menghadiri seminar dan ucapan berkaitan bisnes.