Archive for the ‘Jualan’ Tag

Menurunkan Harga Produk

Alhamdulillah!

tafsir-ibnu-katsirSemalam, melalui blog Kitab Tafseer saya telah berjaya menjual sebuah lagi set terjemahan Kitab Tafsir Al-Qur’an oleh Imam Ibn Kathir. Saya menjual set tersebut dengan harga jualan pasaran. Satu set RM 700.00 dengan tawaran diskaun 10 persen dan penghantaran percuma di Semenanjung Malaysia.

Terdapat peniaga online menjual dengan harga yang jauh lebih rendah dari apa yang tawarkan.

Pada hemat sebilangan peniaga, harga rendah lebih menarik perhatian pembeli. Hal itu benar untuk produk-produk konsumer dan harian seperti ikan, sayur, tepung, beras dan seumpama dengannya.

Namun untuk produk niche seperti set tafsir ia tidak begitu. Buku adalah produk orang berduit dan terpelajar terlebih lagi buku-buku besar dan berjilid. Orang-orang terpelajar dan berduit tidak memandang kepada harga semata-mata. Sebaliknya mereka memandang kepada nilai yang mereka peroleh dari duit itu.

Saya jelaskan juga kepada pembeli tersebut bahawa ada yang menjual dengan harga yang lebih murah. Beliau mengetahui hal itu dan tidak kisah sangat dengan perbezaan harga itu. Masakan tidak, beliau adalah taukeh stesen petrol!

Yang penting kepada golongan sebegini ialah kualiti produk dan servis yang kita tawarkan.

Saya menawarkan penghantaran sendiri ke lokasi sekitar Lembah Klang. Ia dilihat lebih diyakini berbanding bank in duit dan pos kepada penggunakan. Risiko penipuan amat tinggi dan juga risiko buku rosak.

Justeru, harga bukan semata-mata faktor yang menentukan boleh jual atau tidak. Minggu lalu saya masuk ke sebuah butik terkenal antarabangsa. Sehelai baju t dijual dengan harga RM500. Sekali lagi, harga bukan faktor tunggal kebolehjualan.

Psikologi Menjual (Psychology of Selling)

disalin dengan izin dari encikbaca.wordpress.com

Penulis : Brian Tracy  (2004)

Penterjemah : Imran Yusuf (2008)

Penerbit : Pts Professional

Halaman : 236

Harga : Rm 39.90

Syarikat terbaik mempunyai tim jurujual yang terbaik.

Menjual adalah bab utama dan paling kritikan dalam bisnes. Mandahului bahagian pemasaran, akaun, dan lain-lain. Ia sangat asas.

Menjual nasi lemak

Seorang peniaga nasi lemak mungkin tidak punya sistem akaun atau kaedah pemasaran yang maju, namun dia tetap perlu menjual.

Brian Tracy, seorang ‘guru’ dalam tajuk jualan.

Semua orang adalah jurujual

Semua orang adalah jurujual. Peniaga nasi lemak menjual nasi lemaknya. Peniaga nasi lemak yang bagus sebenarnya bukan sekadar menjual nasi lemaknya, bahkan dia menjual layanan yang baik, menjual senyuman kepada pelanggannya dan menjual budi bahasa yang baik.

Pernah tak terjadi, kita membeli dengan sesebuah kedai atau peniaga bukan hanya kerana produknya, bahkan pakej yang dimiliki oleh perniagaan itu. Baik kebersihannya, layanannya, kualitinya dan aspek yang lain. Mungkin harganya sedikit mahal dan makanannya pun biasa-biasa sahaja, tetapi pelanggan tetap datang kerana layanannya.

Peniaga barang-barang menjual barangannya. Pernigaan dalam bidang perkhidmatan pula menjual khidmatnya.

Semua orang adalah jurujual

  1. Ibu bapa menjual akhlaq dan adab yang baik kepada anaknya
  2. Guru menjual ilmu kepada anak murid untuk diamalkan
  3. Pendakwah menjual keyakinan agama kepada pengikutnya untuk ditaati

Justeru apabila Allah menakdirkan semua Nabinya mengembala kambing (hadits dari Malik b Abas dalam Muwatta Imam Malik) dan Nabi Muhammad kemudiannya menjadi peniaga. Di dalam dua kegiatan ini ada banyak latihan dan ujian yang sangat bermanfaat ketika Nabi berdakwah kepada umatnya.

Product knowledge

Saya mengunjungi sebuah kedai buku indie untuk mencari Mastika Hadis, buat kuliah pengajian ibu saya.

Saya terus tanya di kaunter, “Cik, di sini ada jual kitab Mastika Hadis?”. Dengan yakin dan selamba jurujual itu menjawab, “Tak ada”.

Sementara melangkah keluar saya meninjau-ninjau rak buku yang melekat di dinding. Perhatian saya tertangkap pada beberapa jilid buku tebal berwarna hijau. “Itu seperti Mastika Hadis!”, getus hati kecil saya, terus merapat ke rak. Telahan saya benar. Namun dengan hati yang sedikit berang, saya melangkah keluar tanpa membeli apa-apa.

Kesalahan pertama

Jurujual tidak tahu apa produk yang ada di kedainya. Padahal bukanlah besar sangat kedai buku itu. Dan saya kira kedai buku ini bukanlah kedai yang sangat laris, sehingga stok baru keluar masuk setiap hari, sehingga jurujual tidak sempat meninjau produk yang dijual.

Kesalahan kedua

Jurujual langsung tidak menyemak, adakah judul itu benar-benar ada atau benar-benar tiada. Sekurang-kurangnya ‘double check’ untuk memuaskan hati pelanggan.

Kesalahan ketiga

Peniaga membuat pelanggan terasa ditipu. Ini satu jenayah yang paling besar dalam bisnes, apabila pelanggan berasa ditipu.

Peniaga Melayu perlu belajar dan berkawan dengan peniaga Cina. Berhenti menyalahkan orang cina akan kejayaan dan kekayaan mereka.

Berkawan, belajar, dan tiru orang cina berniaga.

  • Bandingkan kedai cina buka jam berapa dan kedai melayu buka jam berapa.
  • Bandingkan kedai cina tutup jam berapa dan kedai melayu tutup jam berapa.
  • Bandingkan kedai cina tutup hari apa dan kedai melayu tutup hari apa. Sebahagian kedai cina, Tahun Baru Cina pun masih berniaga (tutup waktu pagi sahaja untuk upacara agama). Manakala banyak juga kedai Melayu yang cuti raya panjang lebar, dan tutup-buka kedai ikut suka hati adik-beradik sahaja.

Tidak perlu banyak-banyak. Cukup membuat koreksi 3 perkara itu sahaja. Ia sangat asas dan kelihatan sangat mudah. Tiru perkara mudah ini dahulu, kemudian kita bicara soal pembiayaan perniagaan, tempoh kredit dan pengurusan sumber manusia.

Peniaga Melayu masih ‘survive’  kerana orang cina belum masuk Islam berbondong-bondong. Apabila orang Cina masuk Islam beramai-ramai, maka Melayu tinggal sejarah Melayu sahaja.

 

Hidangan percuma untuk pelangan pertama

Hari minggu yang lalu, saya ke Plaza Angsana. Sekadar bersiar-siar melawat kedai buku Badang Cemerlang.

Sebelum itu saya sarapan di sebuah kedai makan di aras bawah kompleks.

Jam baru 10.30 pagi. Hanya ada beberapa kedai yang sudah memulakan perniagaan.

Saya memesan 2 mangkuk wantan mee sup. Makanan ini sukar saya temui di tempat lain melainkan di Johor Bahru.

Selepas siap makan, saya ke kaunter untuk membuat bayaran. Kemudian kata pemuda yang menyediakan makanan tadi, “Makanan untuk encik kami beri percuma, kerana encik adalah pelanggan pertama kami”.

Saya seperti tidak percaya, walhal harga hidangan kami hanya RM 8.00 sahaja.

Ada beberapa kesan dari tindakan peniaga ini

1. Tentu sahaja ia akan menggembirakan pelangan, walaupun harga makanan itu tidak seberapa. Buktinya, saya sangat gembira. Bukan kerana saya jimat beberapa ringit pagi itu, sebaliknya pelanggan rasa dihargai.

2. Nama perniagaan akan bertambah baik. Pelanggan yang berpuas hati dengan satu perniagaan, cenderung untuk menyarankan kenalan mereka. ‘Word of mouth’ dikenal pasti sebagai medium iklan yang jauh lebih berkesan berbanding media yang lain. Contohnya, saya memanjangkan nama baik perniagaan itu dalam blog ini.

3. Dalam Islam, apabila peniaga itu melakukan sedekah kepada pelanggan dengan ikhlas, maka tentu sahaja Allah akan mengurniakan pernigaan itu lebih banyak rezeki.

Bayangkan polisi memberi hidangan percuma kepada pelanggan pertama setiap hari, tentu sahaja para malaikat akan mendoakan mereka pada setia hari yang mereka lakukan sedekah. Hal ini sabit dari hadith yang sahih.

Walaupun saya bukan anak kelahiran Johor atau penduduk tetap Johor, namun saya harus akui, penilaian saya terhadap orang-orang Johor semakin ‘bias’. Banyaknya yang baik-baik belaka sahaja.